Syarikat Eropah intai peluang perluas operasi ke Sarawak, mahu kepastian dasar

Syarikat Eropah dalam sektor tenaga, pusat data dan semikonduktor sedang meninjau peluang mengembangkan operasi ke Sarawak, selain di Semenanjung Malaysia, menurut EuroCham Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Kati Ferry berkata pihaknya mahu memperkukuh kerjasama dengan Sarawak, terutama dalam usaha negeri itu menjadi hab tenaga dan membangunkan industri hijau.
“Kami mahu menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Sarawak kerana melihat negeri itu sangat progresif, bukan sahaja sebagai hab tenaga tetapi juga dalam pembangunan industri hijau,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, hala tuju Sarawak seiring dengan penekanan Kesatuan Eropah (EU) terhadap kelestarian sejak sekian lama, sekali gus menjadikan negeri itu lokasi yang sesuai untuk syarikat Eropah.
“Di mana sahaja teknologi hijau atau industri hijau dibangunkan, di situlah kita akan melihat kehadiran syarikat Eropah.”
Bagaimanapun, Ferry berkata keputusan pelaburan tidak hanya bergantung pada kos permulaan dan operasi perniagaan.
“Bukan sekadar kos menjalankan perniagaan yang perlu diambil kira, tetapi juga kos mengekalkan perniagaan itu.
“Justeru, pelaburan yang dibuat sekarang perlu membawa kepada kerjasama jangka panjang.”
Beliau berkata syarikat Eropah masih berminat melabur di Malaysia, namun kini lebih teliti dalam memilih lokasi dan menentukan bentuk pelaburan mereka.
Menurutnya, tiga faktor utama yang diberi perhatian ialah ketersediaan tenaga kerja mahir, peraturan yang jelas dan konsisten, serta rantaian bekalan dan ekosistem perindustrian yang kukuh.
“Apabila syarikat Eropah melabur di luar negara, mereka melihat untuk tempoh panjang, sama ada 10, 20 atau 30 tahun.
“Jadi, mereka mahu memastikan peraturan yang ditetapkan boleh dijangka dan tidak berubah ketika pelaburan mereka masih berjalan.”
Ferry berkata Malaysia sudah mempunyai beberapa kelebihan, termasuk sektor pembuatan yang mantap, kepakaran dalam industri semikonduktor dan elektronik, serta hubungan ekonomi yang kukuh dengan pelbagai pasaran.
Menurutnya, pendekatan Malaysia yang berkecuali dalam hubungan dengan pasaran serantau dan antarabangsa turut membantu menarik pelaburan.
Beliau berkata dasar perindustrian seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) serta rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU yang sedang berlangsung juga memberi isyarat positif kepada pelabur.
Antara sektor yang menarik minat syarikat Eropah ialah semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi, teknologi digital, keselamatan siber, penjagaan kesihatan dan peranti perubatan.
Bagaimanapun, Ferry mengingatkan bahawa usaha menarik pelaburan bernilai tinggi tidak boleh bergantung semata-mata pada insentif cukai.
“Ini bukan sekadar soal menawarkan pengecualian cukai selama 10 atau 15 tahun. Syarikat perlu yakin bahawa mereka boleh membangunkan sistem yang canggih di sini untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata keyakinan itu memerlukan sokongan tenaga kerja mahir, termasuk jurutera, pembangun perisian dan pakar teknikal, selain bekalan tenaga yang stabil.
Ferry turut menggesa kerjasama lebih erat antara industri, universiti dan kerajaan bagi memastikan graduan memiliki kemahiran praktikal yang diperlukan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi dan industri bernilai tinggi lain.
Beliau menjadikan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) sebagai contoh kejayaan kerjasama antara industri, institusi pendidikan dan kerajaan.
Menurutnya, sejak pusat itu ditubuhkan, syarikat Eropah turut membiayai program latihan dan menghantar pekerja mengikuti latihan semula serta meningkatkan kemahiran.
Katanya, lebih 180,000 pekerja menerima latihan menerusi model kerjasama itu sepanjang tiga dekad lalu.
“Kami melihatnya sebagai satu contoh kejayaan dan berharap lebih banyak pusat seperti ini dapat diwujudkan di seluruh Malaysia,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.