Ismail belum dapat perkenan Tuanku Muhriz tarikh sidang DUN

Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim sedang berusaha mendapatkan perkenan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang.
Beliau berkata, seperti dimaklumkan sebelum ini, sidang DUN dijadualkan berlangsung 26 Nov ini, diikuti pembentangan belanjawan negeri keesokannya.
“Sedang berusaha (dapat perkenan Tuanku Muhriz).
“Sepertimana yang saya sebut sebelum ini, itulah…27 Nov lebih kurang. Tengok macam mana,” katanya menurut Sinar Harian selepas merasmikan Perpatih Fest di Seremban.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, J Arul Kumar dilaporkan berkata, semua Adun pembangkang belum menerima makluman rasmi berhubung tarikh DUN akan bersidang.
Pada 16 Okt lalu, menerusi beberapa video tular di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan jemaah bahawa Ismail mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memaklumkan baginda kononnya bukan lagi Yang Dipertuan Besar.
Tuanku Muhriz kemudian menempelak Ismail yang turut berada di situ dan memberitahunya baginda enggan berjumpa dengannya serta mempersoalkan tujuan Ismail mahu menghadapnya.
Sebagai respons, Ismail sekadar mengangkat sembah sebagai tanda hormat.
Negeri Sembilan kini berdepan krisis perlembagaan negeri yang tercetus sejak April lalu, selepas empat individu mendakwa undang mengumumkan kononnya Tuanku Muhriz dilucutkan takhta sebagai Yang Dipertuan Besar dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah negeri ‘baharu’.
Ismail kemudian memperakui kenyataan exconya yang didakwa mengesahkan pelucutan takhta Tuanku Muhriz, sebelum baginda membatalkan pelantikan semua barisan exco.
Mengenai kenyataan bekas menteri besar, Aminuddin Harun bahawa DUN boleh terbubar sendiri pada Februari depan jika tiada persidangan diadakan sehingga tempoh itu, Ismail berkata, beliau tidak pasti mengenainya.
Katanya, perkara itu perlu merujuk peruntukan undang-undang berkaitan bagi mendapatkan kepastian.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.