Tiada negara, syarikat patut kuasai AI, kata ketua OpenAI, Anthropic

Ketua OpenAI dan Anthropic menggesa kerjasama antarabangsa dalam mengurus risiko kecerdasan buatan (AI), sambil menegaskan tiada satu negara, syarikat atau individu seharusnya menguasai teknologi itu, lapor Anadolu Ajansi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman, berkata AI boleh membawa era baharu kreativiti dan penemuan, namun pada masa sama berpotensi mengakibatkan perubahan besar dan ketidaktentuan.
Beliau berkata, teknologi itu perlu dibangunkan untuk kepentingan manusia bukan semata-mata bagi meningkatkan keupayaan mesin.
Altman turut menegaskan tiada individu, syarikat atau negara seharusnya menggunakan model AI paling berkuasa untuk memaksakan pandangan mereka kepada pihak lain.
Keputusan berkaitan AI tidak boleh dibuat oleh syarikat atau makmal teknologi semata-mata, sebaliknya perlu dibentuk melalui proses demokrasi dan kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat.
Sementara itu, CEO Anthropic Dario Amodei mengenal pasti dua risiko utama AI iaitu penyalahgunaan teknologi itu, termasuk untuk menghasilkan senjata biologi, serta kemungkinan keupayaan model AI berkembang lebih pantas daripada kemampuan pembangun untuk mengawalnya.
Beliau memberi amaran AI boleh menjadi ancaman kepada manusia sekiranya tidak diurus dengan baik.
Amodei berkata, Anthropic bersedia memperlahankan pembangunan sistem AI jika perlu bagi memastikan setiap teknologi baharu dikeluarkan selamat.
Namun, beliau menegaskan pengurusan risiko AI tidak boleh dipikul satu syarikat sahaja kerana ia melibatkan seluruh industri dan masyarakat antarabangsa.
Beliau turut menyeru diwujudkan piawaian global bersama bagi menguji risiko kehilangan kawalan terhadap model AI serta kemungkinan penyalahgunaannya.
Pengerusi Bersama Panel Bebas Antarabangsa PBB mengenai AI, Yoshua Bengio pula berkata kerajaan dan masyarakat tidak seharusnya menganggap persaingan membangunkan AI sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Menurutnya, persaingan itu berlaku akibat pilihan yang dibuat oleh syarikat sendiri dan boleh menimbulkan risiko kepada semua negara.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.