Skrin LED di Kluang digodam papar video lucah

Majlis Perbandaran Kluang (MPK) membuat laporan polis susulan sistem paparan LED di sekitar bandar itu digodam yang menayangkan gambar dan video lucah, semalam.
MPK turut menyuarakan permohonan maaf atas insiden menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Kluang.
“Sehubungan itu, siasatan lanjut sedang dilaksanakan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca kejadian, selain mengambil langkah pemulihan dan memperkukuh tahap keselamatan sistem.
“MPK memohon maaf atas segala kesulitan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Kluang susulan insiden ini,” katanya menurut Berita Harian.
Dalam pada itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd Jafni Md Shukor, berkata pihak MPK sudah mengambil tindakan segera dengan menutup semua skrin LED di kawasan ditadbirnya.
“Untuk makluman, sistem LED MPK digodam dan pihak MPK sudah mengambil tindakan segera dengan menutup semua skrin LED,” katanya menurut laporan itu.
Antara lokasi yang dilapor memaparkan kandungan tidak senonoh itu ialah Dataran Tasik Kluang, Taman Intan di bandar Kluang serta kawasan sekitar laluan menghala ke Kahang.
Tular di media sosial selepas beberapa skrin LED yang dipasang MPK didapati menayangkan gambar serta video lucah.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.