Tiada permohonan CZC lelong semula tanah dekat Persiaran Gurney, kata Chow

Kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan daripada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) untuk mengadakan lelongan semula tanah kira-kira 2.43 hektar di Jalan Peter Paul Dason berhampiran Persiaran Gurney di sini yang gagal mendapat pembida sebelum ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata lelongan pertama September lalu diadakan atas permintaan syarikat berkenaan ketika itu yang memerlukan aliran tunai bagi membiayai baki kerja pembinaan Projek Lebuhraya Pakej 2, iaitu Jalan Pintasan dari Bandar Baru Ayer Itam (Farlim) ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
“Ketika ini, kerajaan negeri tidak menerima permintaan baharu daripada CZC bagi membantu mengadakan lelongan semula sebab kini mereka tidak mengalami kekangan aliran tunai dan mampu menghabiskan baki kerja yang telah capai lebih 95%,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) mengenai kegagalan penjualan tanah itu menerusi tender terbuka dan adakah pembidaan semula akan dilaksanakan kelak.
Chow berkata, hebahan mengenai lelongan awam sebelum ini disiarkan dalam akhbar, laman sesawang rasmi Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang serta Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (PDTTL), selain Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan pada 7 Sept lalu.
Bagaimanapun, jelasnya, penyertaan pembida bergantung kepada minat dan kesediaan pihak yang memenuhi syarat lelongan dan tidak dapat ditentukan atau dijamin terlebih dahulu oleh pentadbir tanah, walaupun hebahan secara meluas.
Bagi tindakan selanjutnya, beliau berkata, hala tuju urusan tanah itu tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa negeri (PBN), justeru penyelarasan tindakan susulan akan dilaksanakan PDTTL berdasarkan keputusan dan arahan PBN kelak.
Chow berkata, lelongan awam tanah itu ditetapkan pada harga rizab RM313.632 juta.
“Melalui kaedah pembiayaan pertukaran tanah, hasil lelongan dijangka dapat membantu memenuhi tuntutan nilai tanah bagi kerja yang dilaksanakan pihak CZC, di samping menjana lebihan hasil untuk diagihkan antara kerajaan negeri dengan CZC berdasarkan ketetapan dipersetujui.
“Bagaimanapun, jumlah hasil sebenar yang bakal diperoleh tertakluk kepada harga jualan yang berjaya dicapai sekiranya lelongan semula dilaksanakan dan mendapat kelulusan PBN.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.