Jabatan Penjara kunjungi rumah Najib

Dua kenderaan berlogo Jabatan Penjara Malaysia dilihat memasuki kediaman bekas perdana menteri Najib Razak di Langgak Duta, pagi tadi.
Perkembangan itu menyusul pengampunan bersyarat diperoleh bekas presiden Umno untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Kereta dipercayai membawa beberapa pegawai Jabatan Penjara antara dilihat memasuki pekarangan kediaman itu sejak 9.40 pagi, lapor Berita Harian.
Kehadiran pegawai berkenaan dipercayai bagi menilai kesesuaian kediaman itu dijadikan lokasi Najib menjalani tahanan di rumah.
Beberapa pegawai kemudian dilihat meninjau kawasan sekitar kediaman berkenaan selama kira-kira 15 minit sebelum kembali memasuki pekarangan premis.
Pegawai Khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar, ketika ditemui enggan mengulas mengenai kehadiran pegawai terbabit.
Kumpulan petugas media turut berada di sekitar kediaman berkenaan sejak awal pagi bagi mengikuti perkembangan terkini susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.
Mengikut pengampunan bersyarat itu, Najib perlu mematuhi semua syarat ditetapkan dan jika gagal berbuat demikian, pengampunan berkenaan terbatal dan perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.