Kami sudah beri amaran, kata SAM selepas kematian doktor akibat tanah runtuh

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengkritik kerajaan Pulau Pinang susulan tanah runtuh di Paya Terubong yang mengorbankan seorang doktor 73 tahun kerana pihaknya berulang kali memberi amaran bahaya pembangunan di kawasan lereng bukit itu.
Presiden SAM, Meenakshi Raman, berkata penduduk dan kumpulan alam sekitar sejak sekian lama menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti pemotongan bukit besar-besaran serta risiko yang boleh mengancam rumah berhampiran dan keselamatan orang awam.
Menurutnya, Paya Terubong sememangnya diketahui sebagai kawasan berisiko mengalami tanah runtuh, menjadikan kerja pembinaan berskala besar di lereng bukit kawasan itu amat berbahaya.
“Malangnya, sekali lagi terbukti kebimbangan kami selama ini berasas,” katanya ketika dihubungi, yang terkejut atas kematian Dr Wong Kar Lin.
Jelasnya, kerajaan Pulau Pinang perlu menjelaskan bagaimana kejadian tanah runtuh itu berlaku dan kenapa tragedi berkenaan gagal dicegah walaupun penduduk serta kumpulan alam sekitar berulang kali memberi amaran.
Menurutnya, gambar kawasan itu menunjukkan cerun gondol dan tidak dilindungi, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pihak berkuasa memantau kawasan lereng bukit terbabit dengan sewajarnya dan mengambil langkah secukupnya bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh.
Beliau turut menggesa tindakan segera diambil terhadap syarikat didapati bertanggungjawab atas kejadian itu dan pihak berkuasa tidak boleh membiarkan kecuaian tanpa sebarang hukuman.
Meenakshi berkata, kerja segera perlu dilaksanakan bagi menstabilkan cerun terjejas demi melindungi penduduk yang tinggal berhampiran.
Wong maut selepas tanah runtuh menghempap bahagian belakang rumahnya di Taman Seri Rambai, Paya Terubong. Dua lagi penghuni rumah itu, termasuk isterinya, berjaya menyelamatkan diri.
Punca tanah runtuh itu sedang disiasat, tetapi Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah mengarahkan projek pembinaan kondominium berhampiran dihentikan.
Adun Paya Terubong merangkap Exco, Wong Hon Wai, menegaskan belum ada sebarang kaitan yang dapat dipastikan antara projek itu dengan kejadian tanah runtuh berkenaan setakat ini.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.