RM14,000 masuk akaun sendiri, bekas timbalan pengurus anak syarikat TH didakwa

Bekas timbalan pengurus anak syarikat Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu kerana memasukkan RM14,000 dalam akaun bank sendiri hasil kutipan penalti daripada syarikat kontraktor, kira-kira sembilan tahun lalu.
Tertuduh, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim Dazuki Ali, dalam kes melibatkan projek membina dan menyiapkan projek bangunan komersial setinggi 22 tingkat milik TH, lapor Kosmo.
Mengikut pendakwaan, lelaki itu didakwa bersubahat dengan Mohamad Hashim Mukhatap, 53, yang merupakan pengurus pembinaan THP Timur Sdn Bhd melakukan pecah amanah dengan secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta dan memasukkan wang RM14,000 ke dalam akaun bank sendiri hasil kutipan penalti ke atas kontraktor, Kelpile Sdn Bhd.
Kutipan itu melibatkan projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat mengandungi 244 unit pangsapuri perkhidmatan, unit kediaman tingkat teratas (empat unit), kemudahan awam (aras tujuh), ruang perniagaan (dua tingkat), tempat letak kereta (lima tingkat), aras bawah tanah tambahan (satu tingkat) serta kemudahan berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12, Kota Bharu.
Tengku Kamarolhisham didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Sofea Residensi, Seksyen 12, Kota Bharu, antara 15 Nov 2017 dan 8 Ogos 2018. Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili Fahmi Abd Moin.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 19 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.