Kerajaan teliti langkah segera kurangkan kesan kenaikan bil elektrik, kata PM

Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata perhatian beliau tertumpu kepada keresahan rakyat mengenai kenaikan bil elektrik sebaik pulang daripada lawatan ke India dan Maldives.
“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mesyuarat khas itu akan melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MoF).
Menurutnya, sekitar 80% pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.
Bagaimanapun, keadaan jerebu dan cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini menyebabkan sebahagian isi rumah meningkatkan penggunaan elektrik sehingga melepasi paras 600 kWj sebulan.
“Ia menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA),” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan penyasaran subsidi bagi melindungi majoriti rakyat.
“Kerajaan Madani akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.