Kerajaan pertimbang lebih RM1 bilion untuk sistem peluru berpandu baharu

Malaysia sedang mempertimbangkan peruntukan RM700 juta hingga lebih RM1 bilion bagi mendapatkan sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan baharu selepas Norway membatalkan lesen eksport sistem yang ditempah untuk kapal tempur pesisir (LCS) negara.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata sistem itu sepatutnya dipasang pada LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), namun kerajaan tidak boleh menunggu wang daripada perolehan dengan syarikat Norway itu dikembalikan sebelum mendapatkan sistem gantian, lapor The Star.
“Jadi bagaimana kita hendak menggantikan peluru berpandu yang sepatutnya dipasang pada kapal itu? Kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan peruntukan baharu untuk membeli sistem gantian,” katanya selepas menghadiri satu acara di Kota Tinggi, Johor, hari ini.
Khaled berkata kerajaan sedang menilai beberapa faktor termasuk kos, tempoh penghantaran serta keserasian sistem baharu dengan sistem pengurusan tempur yang sudah dipasang pada kapal berkenaan.
Beliau berkata proses mendapatkan peluru berpandu juga mengambil masa kerana sistem berkenaan perlu ditempah dan penghantarannya boleh mengambil masa tiga hingga empat tahun.
“Peluru berpandu bukan seperti membeli kereta dari bilik pameran. Ia perlu ditempah dan penghantarannya boleh mengambil masa tiga atau empat tahun,” katanya.
Khaled menjelaskan sistem pengurusan tempur kapal itu dibekalkan sebuah syarikat pertahanan maritim Perancis, menyebabkan aspek keserasian menjadi antara pertimbangan utama kerajaan.
Pada Jun lalu, beliau berkata Malaysia sedang menilai sistem peluru berpandu dari beberapa negara termasuk Itali, Jepun, Perancis, Turki dan Korea Selatan.
Malaysia sebelum ini menempah sistem berkenaan daripada Kongsberg Defence & Aerospace menerusi kontrak pada 2018 bagi melengkapkan enam LCS.
Bagaimanapun, kerajaan Norway kemudian membatalkan permit eksport itu dengan memaklumkan eksport teknologi pertahanannya akan dihadkan kepada “sekutu dan rakan terdekat”.
Kerajaan kini menuntut pampasan lebih RM1 bilion daripada Kongsberg bagi kerugian langsung dan tidak langsung selepas 95% daripada nilai perolehan RM634 juta sudah dibayar.
Dalam perkembangan berasingan, Khaled berkata Malaysia perlu memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan susulan perkembangan di sekitar Pulau Balabac di selatan Filipina.
Beliau berkata peningkatan kehadiran tentera Filipina dan Amerika Syarikat di kawasan itu perlu diberi perhatian kerana pulau berkenaan terletak berhampiran Malaysia.
Menurutnya, persediaan Malaysia bukan ditujukan terhadap Filipina, sebaliknya bagi memastikan negara mampu bertindak sekiranya sebarang konflik di kawasan itu merebak ke wilayah Malaysia.
Khaled berkata keadaan juga boleh menjadi lebih rumit sekiranya ketegangan antara Filipina, Amerika Syarikat dan China mencetuskan pertembungan yang tidak dijangka.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.