Tema ‘penyatuan Melayu’ dorong pengundi Cina sokong DAP, kata penganalisis

Kebimbangan terhadap tema ‘penyatuan Melayu’ diperjuangkan PAS dan Barisan Nasional (BN) mendorong pengundi Cina di Melaka beralih menyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH), sekali gus membantu parti itu mempertahankan kubu kuatnya, kata seorang penganalisis politik.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, sentimen pengundi itu sebahagian besarnya berpunca daripada PAS yang menjadi antara pendukung utama tema ‘penyatuan Melayu’ menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan BN.
Kerjasama itu menghasilkan kemenangan di 24 daripada 28 kerusi yang ditandingi, manakala DAP memenangi kesemua empat kerusi yang ditandinginya bagi pihak PH, sekali gus mengekalkan dengan selesa dua kubu kuat majoriti Cina, Bandar Hilir dan Kota Laksamana, serta kerusi campuran Kesidang dan Ayer Keroh.
“Saya berpendapat pengundi Cina masih kurang selesa dengan tema yang kononnya membawa penyatuan Melayu ini, khususnya apabila PAS turut aktif memperjuangkannya,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi penganalisis, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata pengundi Cina tidak mempunyai banyak pilihan selain menyokong DAP dalam landskap politik semasa yang menurutnya semakin berpecah-belah.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang senada berkata, tema ‘penyatuan Melayu’ itu semakin mengukuhkan kedudukan pilihan raya Umno di kawasan kubu kuatnya yang merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“PH tidak mampu menangkis naratif penyatuan Melayu-Islam yang dibawa Umno dan PAS,” katanya kepada FMT.
Reformasi perlahan, masalah PKR
Oh mengaitkan prestasi buruk PKR dengan kelembapan pelaksanaan reformasi dan konflik dalaman parti, yang menurutnya telah menghakis keyakinan pengundi serta mendorong penghijrahan pemimpin dan Ahli Parlimen ke Bersama.

Azmil berkata, trend pengundian yang sangat berpecah mengikut garis kaum tidak memberikan petanda baik kepada parti berbilang kaum seperti PKR, yang hanya berpeluang mendapat manfaat sekiranya PN dan BN bertanding secara berasingan.
Amanah turut mengalami tamparan hebat apabila naib presidennya yang juga bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari tewas di kerusi Bukit Katil. Adly dikalahkan calon PAS Ridzuan Sarif dalam pertandingan satu lawan satu.
Azmil dan Mazlan berkata, pengukuhan undi Melayu menyumbang kepada kekalahan Adly.
“Beliau masih mendapat sokongan. Cuma gelombang biru Melayu-Islam lebih besar berbanding pengaruhnya sendiri sebagai bekas ketua menteri,” kata Mazlan.
Defisit kepercayaan PH dalam kalangan pengundi Melayu
Kedua-dua penganalisis berkata keputusan itu menunjukkan wujudnya defisit kepercayaan yang ketara dalam kalangan pengundi Melayu terhadap PH, menyebabkan sokongan mereka semakin tertumpu kepada blok BN-PN.
Azmil berkata, PH perlu berusaha lebih gigih mengetengahkan pencapaiannya dalam menangani isu kos sara hidup dan keperluan harian rakyat.
“Sekadar menguar-uarkan petunjuk makroekonomi yang baik tidak memadai jika rakyat tidak melihat manfaatnya secara langsung dalam kehidupan seharian,” katanya.

Mazlan mencadangkan supaya PH bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bagi mengenal pasti cara untuk meluaskan pengaruhnya dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Setiap kali Umno dan PAS bergabung tenaga, orang Melayu akan cenderung menyokong mereka, bukannya PH,” katanya.
Oh berkata, PH perlu melakukan muhasabah susulan satu lagi kekalahan pilihan raya yang dialaminya.
Dengan hanya berbaki setahun sebelum PRU16, beliau berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu memperkukuh parti itu, meskipun beliau ragu-ragu sama ada perkara tersebut mampu dicapai.
Kekalahan di Melaka merupakan kekalahan keempat berturut-turut PH selepas mengalami nasib sama dalam PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.