Tengku Ampuan Pahang terima ijazah sarjana, bakal lanjut pengajian ke PhD
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bakal melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas menerima ijazah sarjana hari ini.
Presiden UIAM Abdul Rashid Hussain mengumumkan perkara itu pada Istiadat Konvokesyen UIAM ke-42 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan UIAM di kampus Gombak.
“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa perjalanan akademik baginda akan diteruskan bersama kami ke peringkat doktor falsafah,” katanya.
Tunku Azizah merupakan antara 5,489 graduan pada majlis itu. Baginda turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi program Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam, yang diselesaikannya selepas dua tahun pengajian di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.
Baginda berjaya menamatkan pengajian melalui tesis sarjana bertajuk ‘Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu-Islam yang Berdaulat’.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berkenan berangkat ke istiadat konvokesyen itu.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin memuji pencapaian akademik Tunku Azizah.
“Keazaman Tunku Azizah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sambil melaksanakan tanggungjawab diraja menjadi contoh komitmen terhadap ilmu yang kita raikan pada majlis ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, UIAM menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pemikiran dan Tamadun Islam secara anumerta kepada Profesor Emeritus John L Esposito
Esposito, yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang kajian Islam serta hubungan antara masyarakat Islam dan dunia Barat, meninggal dunia pada Julai lalu pada usia 86 tahun.
Anugerah itu disampaikan oleh Sultan Nazrin dan diterima oleh isteri Esposito, Jean.
“Beliau secara meluas dianggap sebagai sarjana yang bersimpati terhadap Islam, selain sentiasa menjunjung standard objektiviti tertinggi, satu sifat yang jarang ditemui dalam kajian Islam di Barat,” kata Profesor Emeritus Osman Bakar dalam ucapan penganugerahan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.
