Siasatan UiTM Holdings masih berjalan namun kes rumit, kata SPRM

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kerugian RM157 juta yang dialami UiTM Holdings Sdn Bhd dalam tempoh empat tahun masih dijalankan berikutan kerumitan kes itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata siasatan itu melibatkan perkara teknikal yang kompleks, selain agensi antirasuah itu masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.
Antara perkara yang disiasat ialah pembayaran RM42 juta berkaitan projek solar berkapasiti 50MW di Gambang, Pahang.
Halim berkata wang itu dipercayai digunakan untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar berkenaan, manakala pembayaran itu dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah UiTM Holdings.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, yang melibatkan penggunaan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan siasatan secepat mungkin secara bebas dan adil,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata SPRM turut meneliti sama ada terdapat isu lain, termasuk kelemahan dalam pengurusan UiTM Holdings, susulan kebimbangan yang dibangkitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.
Pada 2023, SPRM memulakan siasatan terhadap kerugian RM157 juta yang dialami UiTM Holdings bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Ketika itu, SPRM berkata pihaknya meneliti beberapa pelaburan yang dibuat syarikat berkenaan bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dana.
Semalam, Anwar mengarahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengkaji semula tadbir urus dan pengurusan cabang pelaburannya susulan kerugian berjuta-juta ringgit yang dialami.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.