Hak 40% Sabah bukan syarat sokong kerajaan Madani, kata pegawai Mustapha

Hak Sabah terhadap pemberian khas 40% tidak pernah dijadikan bahan tawar-menawar politik atau dikaitkan dengan sokongan kepada kerajaan Madani, kata pegawai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud.

Setiausaha Akhbarnya Ahmad Farid Sainuri berkata hak berkenaan kekal seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak bergantung kepada kerajaan yang memerintah.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan laporan media sejak 27 Sept yang memetik Mustapha sebagai berkata rakyat Sabah perlu mengekalkan kerajaan Madani sekiranya mahu bayaran interim RM1.5 bilion diteruskan.
Menurut Farid, kenyataan Mustapha dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah hak perlembagaan Sabah dikaitkan dengan sokongan politik kepada kerajaan.
Katanya, apa yang mahu ditekankan Mustapha adalah rekod pentadbiran kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan bayaran interim kepada Sabah sehingga RM1.5 bilion setahun.
“Penegasan terhadap rekod pentadbiran ini sama sekali tidak bermaksud hak Sabah diletakkan sebagai syarat kepada sokongan politik,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Farid turut menegaskan bayaran interim RM1.5 bilion itu bukan dan tidak pernah dianggap sebagai pengganti kepada penyelesaian tuntutan pemberian khas 40%.
Sebaliknya, katanya, ia bayaran sementara sehingga nilai sebenar pemberian khas kepada Sabah dimuktamadkan antara kerajaan negeri dan Putrajaya.
Beliau berkata rundingan mengenai formula, nilai sebenar dan mekanisme pelaksanaannya masih berjalan antara Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kementerian Kewangan Sabah dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
“Keutamaan menteri kekal jelas iaitu sebarang hal berkaitan dengan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 perlu diselesaikan secara berkesan mengikut lunas perlembagaan tanpa menjejaskan perpaduan negara,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.