26,457 penuntut IPTA, politeknik terima wang pendahuluan PTPTN

Seramai 26,457 penuntut baharu peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam dan politeknik bagi sesi September 2026 menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah keseluruhan RM39.7 juta.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, peruntukan RM1,500 seorang itu diberikan bagi membantu menampung sebahagian kos persediaan awal sebelum memulakan sesi pengajian.
Agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu memaklumkan, inisiatif berkenaan menyasarkan warganegara yang bersetuju menerima WPP semasa permohonan kemasukan ke IPTA menerusi UPUOnline atau portal UA.
Pemberian itu juga tertakluk kepada pelajar yang ibu bapa atau penjaganya merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria ditetapkan.
Sejak diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Julai lalu, WPP memberi manfaat kepada lebih sejuta pelajar dengan jumlah peruntukan mencecah RM1.48 bilion.
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim berkata, kemudahan tersebut disediakan untuk meringankan beban kewangan keluarga dan memastikan pelajar melangkah ke menara gading dengan lebih bersedia serta teratur.
“PTPTN terus komited memastikan akses kepada pembiayaan pendidikan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang serta kedudukan sosioekonomi,” katanya dalam kenyataan.
PTPTN sebelum itu menziarahi rumah pelajar yang ditawarkan inisiatif itu di Tasek Gelugor sebelum Norliza menyempurnakan Majlis Penyerahan WPP kawasan Bukit Gelugor di Pulau Pinang hari ini.
Pelajar yang layak boleh menyemak tawaran melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikannya di mana-mana kaunter Bank Islam di seluruh negara bermula hari ini hingga 3 Nov.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.