Hakam kritik gesaan Hadi mansuh ‘undang-undang era penjajah’

Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) mengkritik Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana menggesa semua undang-undang era penjajah dimansuhkan, kerana menurutnya ia menghalang Islam daripada mengatasi ‘undang-undang ciptaan manusia yang tidak diizinkan oleh Allah’.
Presiden Hakam M Ramachelvam berkata pihaknya bimbang terutama dengan penggunaan ‘hujah undang-undang era penjajah yang disesuai secara politik’ untuk menggambarkan kerangka perlembagaan dan perundangan Malaysia sebagai suatu imposisi asing yang diwarisi dan menjadi penghalang kepada Islam.
“Adalah mengelirukan untuk menyatakan bahawa batasan perlembagaan terhadap bidang kuasa syariah hanyalah sekatan ‘penjajah’ yang mesti dihapuskan.
“Soalan yang wajar bukanlah sama ada sesuatu undang-undang mempunyai asal-usul sejarah penjajahan, tetapi sama ada ia sah dalam tatanan perlembagaan Malaysia hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramachelvam berkata penggunaan istilah ‘undang-undang era penjajah’ juga mengabaikan sejarah perlembagaan Malaya yang merdeka.
Beliau berkata Suruhanjaya Reid ditubuhkan untuk membuat syor bagi merangka perlembagaan untuk Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan berkerajaan sendiri, selepas berunding dengan parti politik, wakil masyarakat dan Raja-Raja Melayu.
Syor-syor itu membentuk asas penting bagi aturan perlembagaan yang dirundingkan dan akhirnya diterima pakai ketika kemerdekaan.
“Oleh itu Perlembagaan Persekutuan bukan dokumen penjajahan yang dikenakan ke atas Malaya, sebaliknya hasil rundingan dan perundingan yang meluas melibatkan kepimpinan politik, masyarakat dan Raja-Raja Melayu,” kata Ramachelvam.
Beliau turut berkata kuasa kerajaan negeri dan persekutuan, serta kuasa mahkamah sivil dan syariah, ditakrifkan di bawah kerangka perlembagaan, dengan Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan.
Beliau berkata undang-undang boleh diperbaharui atau dimansuhkan, tetapi perubahan sedemikian mesti dibahaskan berdasarkan merit perundangan dan perlembagaannya dan bukannya disandarkan pada naratif perjuangan antara ‘undang-undang era penjajah’ dengan undang-undang syariah.
“Pemimpin politik mempunyai tanggungjawab yang mendalam dan serius untuk memastikan wacana awam mengenai perkara yang begitu asas seperti agama, undang-undang dan hak perlembagaan tidak menjadi wahana kepada ketakutan, kebencian atau ketidakpercayaan antara masyarakat,” katanya.
Hadi, dalam catatan Minda Presiden PAS, berkata Perkara 4 Perlembagaan menetapkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara. Mana-mana undang-undang yang berlawanan dengan perlembagaan boleh dibatalkan.
Katanya, pelaksanaan penuh undang-undang jenayah syariah memerlukan pindaan perlembagaan yang meluas di peringkat Parlimen.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.