Kenapa BN dahului istana umum peletakan jawatan Ismail, soal Puad

Bekas pemimpin Umno Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Barisan Nasional (BN) yang mendahului perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam peletakan jawatan Ismail Lasim sebagai menteri besar.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu turut menggesa Ismail tampil mendedahkan perkara sebenar di sebalik peletakan jawatannya itu.
Katanya, beberapa persoalan berhubung proses peletakan jawatan berkenaan masih belum terjawab, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada Ismail menjadi mangsa percaturan politik pihak tertentu.
Beliau turut mempersoalkan penafian anak Ismail berhubung perkara itu serta kenyataan Pengelola Bijaya Diraja yang dilaporkan berkata istana hanya mengetahui perkembangan berkenaan menerusi siaran media sosial.
“Ini bermakna perletakan jawatan Ismail tidak teratur. Apakah Ismail menjadi mangsa? Diharap dengan keputusan letak jawatan itu beri ruang kepada Ismail bertindak berani dedah cerita sebenar.
“Terutama siapa yang memaksa beliau. Siapa dalang. Ismail mesti berkorban untuk memastikan Umno tidak jadi mangsa mainan politik,” katanya di Facebook.
Puad berkata, Ismail tidak sepatutnya melihat pendedahan itu sebagai sesuatu yang merugikan dirinya, sebaliknya peluang untuk membantu memulihkan parti dan memastikan kebangkitan Umno tidak terbantut.
Kelmarin, Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir mengumumkan Ismail mengemukakan peletakan jawatan sebagai menteri besar.
Semalam, Pengerusi BN, Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat atas kerelaaan Adun Juasseh berkenaan dan bukan atas arahan parti, selain mengesahkan hanya satu nama dikemukakan bagi menggantikan Ismail.
Peletakan jawatan Ismail berlaku beberapa hari selepas beliau mengesahkan menarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad berkait penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menjelaskan peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja, Azizi Mohamad Ali, turut memaklumkan pihak istana belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail yang diterima pada 12.16 tengah malam, 17 Nov.
Anak Ismail dalam satu hantaran di media sosial turut mempersoalkan peletakan jawatan bapanya, menggambarkan Ismail seolah-olah dijadikan ‘kambing hitam’ dalam krisis perlembagaan negeri.
Ismail kemudian dilaporkan menghadap Tuanku Muhriz petang semalam, namun butiran pertemuan itu belum didedahkan.
Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu ketika negeri itu berdepan krisis perlembagaan susulan pertikaian kedudukan Yang di-Pertuan Besar, yang turut membawa kepada pembatalan pelantikan barisan exco kerajaan negeri.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.