SKMM kenal pasti individu, akaun media sosial berkait video tular hina Rukun Negara

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengenal pasti beberapa individu serta akaun media sosial bagi membantu siasatan berhubung kandungan sebuah video pementasan didakwa menyentuh institusi raja, Malaysia dan Rukun Negara.
SKMM berkata, semakan awal mendapati rakaman itu berasal daripada sebuah pementasan pada 2018 yang disebarkan semula di media sosial.
“SKMM turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah polis dalam melengkapkan siasatan, termasuk berkaitan bukti digital,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, SKMM menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan berhubung individu dikaitkan dengan video itu bagi mengelakkan mengganggu siasatan.
Terdahulu, sebuah video pementasan tular di media sosial menunjukkan beberapa pelakon saling mengarahkan satu sama lain “balik” ke China, India dan Indonesia, dengan perkataan “Ini Malaysia” yang diulang sepanjang persembahan itu.
Kumpulan pelakon itu kemudiannya membacakan Rukun Negara, tetapi setiap baris disusuli respons mengejek daripada watak berbeza.
Seorang daripada pelakon itu hanya memakai seluar dalam merah, dengan badannya dicat perkataan merah dan putih.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang dilaporkan meminta polis dan SKMM menjalankan siasatan segera serta menyeluruh ke atas video itu yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, Malaysia dan Rukun Negara.
Beliau menyifatkan perbuatan dalam pementasan itu tidak bertanggungjawab, keterlaluan dan tidak boleh diterima.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.