Khir Toyo sertai Wawasan selepas setahun bersama Bersatu

Bekas menteri besar Selangor, Khir Toyo, meninggalkan Bersatu untuk menyertai Wawasan, lebih setahun selepas menyertai parti yang dipimpin bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin itu.
Bekas Adun Sungai Panjang selama tiga penggal itu memberitahu FMT bahawa beliau menyertai Wawasan pimpinan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin hampir sebulan lalu.
“Saya meninggalkan Bersatu kerana parti itu dilihat sudah kehilangan hala tuju dan sentiasa bergaduh sesama mereka” katanya.
Sumber Wawasan sebelum ini memberitahu FMT bahawa Khir menyertai parti itu selepas PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Sumber Bersatu turut mengesahkan Khir keluar dari parti itu, dengan berkata beliau hanya menyertai Bersatu untuk mendapat peluang bertanding dalam pilihan raya.
“Beliau serta Bersatu sekejap semata-mata untuk bertanding dalam pilihan raya, kemudian keluar semula kerana mahu bertanding,” kata sumber itu.
Penyertaannya dalam Bersatu diumumkan pada Ogos tahun lalu oleh Ketua Bersatu Melaka ketika itu, Abdul Rahim Thamby Chik, yang kini turut menyertai Wawasan.
Khir dan Rahim kedua-duanya merupakan bekas pemimpin Umno.
Khir berkhidmat sebagai menteri besar Selangor dari 2000 hingga 2008 dan dipenjarakan selama setahun pada 2015 selepas disabitkan atas kesalahan menyalahgunakan kuasa berhubung pembelian dua lot tanah dan sebuah rumah di Shah Alam. Beliau dibebaskan secara parol selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan.
Beliau pernah berusaha menghidupkan semula kerjaya politiknya menjelang PRU pada 2022 dengan menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.
Bagaimanapun, Barisan Nasional memilih Ketua Umno Sungai Besar ketika itu, Jamal Yunos, sebagai calon, yang kemudiannya tewas kepada calon Perikatan Nasional.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.