Anwar tolak dasar kerajaan berteraskan dominasi kaum


Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau mahu terus bertahan sebagai pemimpin yang mencintai negara, bukan mengikut desakan supaya dasar kerajaan berteraskan dominasi kaum demi kelangsungan politik.
Beliau berkata demikian berikutan berdepan naratif daripada pihak tertentu yang mendakwa dasar negara perlu disesuaikan dengan dominasi Melayu, jika mahu terus bertahan dalam politik.
“Orang kata Anwar, kamu mesti menyesuaikan diri dengan dasar itu mesti berteraskan Melayu, dominasi Melayu. Jika tidak, kamu tidak akan dapat bertahan.
“Saya jawab, saya mahu terus bertahan sebagai pemimpin Malaysia yang mencintai negara ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan 2026 di Little India, Brickfields.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau mahu mempertahankan prinsip negara dan Perlembagaan, termasuk kedudukan Bahasa Melayu, agama Islam serta hak dan keselamatan orang Melayu.
Beliau bagaimanapun mengingatkan keselamatan dan kestabilan negara turut bergantung kepada jaminan keadilan, kejayaan serta kebahagiaan untuk semua kaum dan setiap rakyat Malaysia.
Menurutnya, kekayaan negara perlu dimanfaatkan untuk memakmurkan seluruh rakyat tanpa mengira kaum kerana kemiskinan bukan hanya melibatkan satu kelompok masyarakat.
Beliau berkata, ada orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan yang berjaya, namun masih terdapat golongan miskin dalam setiap komuniti yang memerlukan perhatian kerajaan.
Sementara itu, Anwar mendakwa ada pihak menggunakan isu kaum untuk mengalihkan perhatian daripada isu rasuah dan penipuan, sedangkan sebahagian individu yang lantang bercakap mengenai kelangsungan kaum adalah antara yang terkaya di negara ini.
“Perjuangan itu sebenarnya untuk memperkayakan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya.
Mengaitkan mesej Deepavali dengan perpaduan, Anwar berkata, Pesta Cahaya membawa simbol menghapuskan kegelapan serta memberi pencerahan kepada masyarakat untuk menjadi lebih adil, saksama dan bermoral.
Beliau turut mengakui masih terdapat beberapa perkara membabitkan masyarakat India yang perlu diperbaiki, termasuk pendidikan, sekolah Tamil, isu kuil Hindu, peniaga serta kemiskinan masyarakat itu di bandar dan ladang.
Katanya, kerajaan berusaha membantu semua kaum menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan RM200 bagi setiap anak sekolah pada Januari, tanpa mengira kaum dan daerah, bagi meringankan beban keluarga menjelang pembukaan sekolah.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.