InquirerPangasinan folk fight to save vanishing fishing groundThe Jerusalem Post'True Crime Community' draws teens to idolize school shooters, carry out copycat killings - reportDaily MaverickUPDATE 6-US lawmakers criticize Nvidia decision to reinstate Huang as CEOZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-NachrichtenstudioGhaflaPastor Kanyari Defends Morgan Bahati Against Critics Over Debut Song ZozaVanguardNRS urges investigative reporting to curb illicit financial flows中国新闻网在一起,向未来:鸿蒙操作系统终端设备数突破1亿Antara NewsHouse urges govt speed up spending to sustain economic growthn-tvDeutsche wollen mehr Diplomatie: Umfrage: Mehrheit gegen militärische Ukraine-UnterstützungDaily MailQUENTIN LETTS: Into the dentist's chair we go, the drill going WHEEEE as PM restarts the Brexit civil warE! OnlineChristopher Lloyd, 88, Gives Look at Romance With Wife Lisa Lloyd, 56سكاي نيوز عربيةلجنة الكونغرس تستدعي رئيس "إنفيديا" بشأن تهريب رقائق للصين
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, November 24, 2026

Amaran bencana terus ke telefon, ini yang rakyat perlu tahu

Translate

Malaysia bakal memperkenalkan sistem amaran kecemasan yang menghantar maklumat bencana terus ke telefon bimbit penduduk di kawasan terjejas, sama seperti sistem amaran gempa bumi di Jepun dan cuaca buruk di United Kingdom.

Menjelang ujian di seluruh negara pada 29 Nov, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa pengguna mengemas kini sistem operasi telefon bimbit kepada versi terkini serta menyemak tetapan amaran kecemasan pada peranti masing-masing.

FMT menjelaskan cara sistem amaran awal (EWS) ini berfungsi dan persediaan yang perlu dilakukan bagi memastikan telefon bimbit dapat menerima amaran berkenaan.

Bagaimana amaran dihantar

EWS akan memberi amaran kepada penduduk di kawasan berisiko dilanda bencana seperti banjir, tanah runtuh dan tsunami.

Sistem itu menggunakan teknologi penyiaran sel (cell broadcast) bagi menghantar amaran secara serentak kepada semua telefon bimbit yang serasi dalam kawasan tertentu menerusi rangkaian 4G dan 5G, berbanding SMS yang dihantar kepada nombor telefon secara individu.

Amaran akan dipaparkan terus pada skrin telefon bersama bunyi penggera.

Pengguna tidak perlu memasang sebarang aplikasi, mendaftar perkhidmatan atau mempunyai akses internet mudah alih untuk menerima amaran berkenaan.

Menurut SKMM, kaedah itu tidak terjejas oleh kesesakan rangkaian yang boleh melambatkan panggilan telefon dan penghantaran SMS. Bagaimanapun, rangkaian mudah alih masih perlu berfungsi bagi membolehkan amaran diterima.

Wakil Global Environment Centre (GEC), Kalithasan Kailasam, menyambut baik pelaksanaan sistem itu yang disifatkannya sebagai langkah penting dalam membina masyarakat lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi bencana.

Beliau berkata, antara kelemahan saluran maklumat sedia ada ialah pengguna perlu menyemak sendiri portal berkaitan untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Sebaliknya, EWS akan menghantar amaran terus kepada penduduk di kawasan berisiko tanpa perlu mereka mencari maklumat terlebih dahulu.

“Ini dapat mengurangkan, malah pada tahap tertentu menghapuskan kelewatan penyampaian maklumat supaya orang ramai sentiasa mendapat maklumat terkini dan boleh segera bertindak sendiri,” katanya kepada FMT.

Persediaan telefon bimbit

SKMM menasihatkan pengguna memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia untuk peranti masing-masing, menghidupkan semula telefon selepas kemas kini dan mengaktifkan fungsi amaran kecemasan jika berkenaan.

Berdasarkan panduan awal keserasian peranti, sistem itu menyokong iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi seterusnya, telefon Android dengan Android 12 ke atas serta telefon Huawei yang menggunakan EMUI 16 ke atas.

Bagaimanapun, syarat itu masih tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir. Keupayaan menerima amaran juga bergantung pada jenis peranti dan sama ada ia menyokong sistem amaran Malaysia.

Untuk menerima amaran, telefon bimbit mesti dihidupkan dan disambungkan kepada rangkaian 4G atau 5G yang berfungsi.

Telefon yang dimatikan, berada dalam mod kapal terbang atau di luar kawasan liputan rangkaian tidak akan menerima amaran berkenaan.

Sejauh mana sistem ini membantu?

Rakyat yang ditemu bual FMT menyambut baik inisiatif itu, khususnya kerana ia dapat membantu penduduk di kawasan yang sering dilanda bencana.

Segar Sundera, 70, berkata sistem berkenaan dapat memastikan orang ramai mengetahui lebih awal mengenai kemungkinan bahaya yang bakal dihadapi.

Beliau mengambil contoh kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku sehingga mengganggu aktiviti harian serta menyebabkan kerosakan besar kepada rumah dan kenderaan.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan betapa pentingnya amaran awal bagi mengurangkan kesan bencana.

Penganalisis perniagaan, Gautam Karupiah, 26, yang sering berdepan jalan dinaiki air ketika dalam perjalanan pulang, berharap sistem itu dapat membantu pemandu mengelakkan situasi berbahaya.

“Jika sistem ini berfungsi dengan baik dan amaran dapat diberikan sejam atau setengah jam lebih awal, ia tentu sangat membantu orang ramai merancang perjalanan,” katanya.

Sementara itu, anggota polis Danial Abdul Karim, 30, menekankan kepentingan persediaan awal sebelum berlakunya bencana.

“Sistem seperti ini sangat baik untuk rakyat Malaysia kerana ia membantu kita membuat persediaan lebih rapi menghadapi bencana,” katanya.

Apa perlu dibuat apabila menerima amaran?

Apabila menerima amaran, pengguna perlu membaca mesej dengan teliti dan memastikan sama ada ia sekadar ujian atau amaran kecemasan sebenar.

Jika berlaku kecemasan, orang ramai perlu mematuhi arahan keselamatan yang diberikan, termasuk berpindah ke kawasan selamat atau mendapatkan perlindungan.

Kalithasan turut menggesa pihak berkuasa memastikan orang ramai benar-benar memahami tindakan yang perlu diambil selepas menerima amaran.

“Oleh sebab ini langkah pertama yang amat penting, pihak berkuasa juga perlu menyediakan panduan jelas mengenai tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa turut berkongsi lokasi GPS pusat pemindahan, nombor telefon kecemasan serta senarai barangan keperluan untuk beg kecemasan dan kit persediaan menghadapi bencana selama 72 jam.

Selain itu, beliau menggesa talian bantuan khusus diwujudkan di peringkat tempatan bagi membolehkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan bantuan mengikut keperluan masing-masing.

EWS diperkenalkan sebagai pelengkap kepada saluran amaran bencana sedia ada, termasuk SMS, siren dan pengumuman menerusi siaran media.

Orang ramai juga diingatkan terus mengikuti amaran rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, walaupun tidak menerima sebarang amaran melalui telefon bimbit.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.