Malaysia seru AI beretika agar negara membangun raih manfaat, kata PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa pendekatan berteraskan etika terhadap kecerdasan buatan (AI) serta rejim perdagangan digital yang lebih terbuka dan berasaskan peraturan untuk memastikan negara membangun turut meraih manfaat kemajuan teknologi.
Berucap pada majlis perasmian Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima, beliau mengiktiraf kemajuan China dalam bidang visualisasi dan AI serta peranannya dalam berkongsi kemajuan teknologi dengan negara Selatan Global.
“Inilah yang pada pandangan saya amat luar biasa mengenai kepimpinan China dan kesediaan mereka untuk terus memberikan makna dan erti sebenar kepada globalisasi,” katanya.
Ekspo selama lima hari yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Besar Hangzhou dirasmikan oleh Perdana Menteri Li Qiang dan merupakan antara platform ekonomi digital utama China yang mengetengahkan AI dan kerjasama global.
Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata matlamat Malaysia dalam bidang AI adalah jelas, iaitu meningkatkan produktiviti, membantu syarikat kecil bersaing, dan membawa industri ke arah aktiviti bernilai tinggi selain memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada perubahan teknologi, berbanding hanya menerima impaknya.
“Prinsipnya kekal, sama ada kita mengawal selia AI atau AI mengawal kita,” katanya sambil menyeru rangka kerja berasaskan etika diwujudkan supaya inovasi dan kemajuan teknologi dapat memberi manfaat kepada manusia.
Beliau berkata, ini merupakan isu asas menyentuh masalah berulang berkaitan jurang digital terutamanya ketika negara mengejar kemajuan teknologi yang pesat dalam keadaan ketidaksamaan sosioekonomi berterusan.
“Pertumbuhan pesat AI, misalnya, mungkin menjadi aspirasi kebanyakan negara tetapi apakah manfaat sebenar yang akan diperoleh manusia jika perkembangan sedemikian hanya melebarkan jurang antara negara kaya dan negara sedang membangun, ekonomi maju dan ekonomi sedang membangun?
“Ini bukan ketakutan yang direka atau dibesar-besarkan, sebaliknya kebimbangan mendalam terhadap kesejahteraan wilayah, negara dan komuniti.
“Persoalannya ialah sama ada teknologi ini akan memberikan negara membangun lebih banyak ruang untuk menentukan masa depan mereka sendiri atau membiarkan mereka bergantung pada teknologi dibangunkan di tempat lain,” katanya.
Anwar berkata, kemajuan ekonomi sebenar tidak dapat dicapai secara berasingan, manakala pengembangan teknologi mampan tidak dapat kekal tanpa mengambil kira jurang teknologi.
Lawatan kerja selama tiga hari perdana menteri ke Shanghai dan Hangzhou berakhir hari ini.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah USD113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.