ESPN49ers hold off furious Commanders' second-half rally to go 6-0ESPN DeportesMike Evans sale por lesión en el Commanders vs. 49ersThe Jerusalem PostMacklemore’s ‘Free Palestine’ tour will benefit group that called Oct. 7 a ‘prison break’Inquirer EntertainmentRuffa Gutierrez says mom Annabelle Rama ‘alive and kicking’ amid ‘false stories’ZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-Nachrichtenstudio中国新闻网以明晰程序稳定出口预期 持续提升出口管制效能NHK 社会東大の総長選めぐり 文部科学省が選考経緯の検証を要請Lenta.ruПодросток порезал российскую туристку в центре одного из популярнейших городов мираNew Straits TimesMalaysia's exports smash record with 34pct surge to RM1.57 trillionSRF NewsKrieg in der Ukraine – Trump: Haben der Ukraine viel gegeben – und sie uns nichtsRMF24Wschodnia Polska z ostrzeżeniem. Trwa kolejny atak na UkrainęLa NaciónSarmiento le ganaba a Barracas Central con un golazo, pero el VAR llamó al árbitro Zamora para anularlo
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, October 20, 2026

Peletakan jawatan pemimpin Gerakan dedah kelemahan, tak puas hati dengan PAS

Translate

Peletakan jawatan dua pemimpin Gerakan di Pulau Pinang menyerlahkan rasa tidak puas hati terhadap kerjasama parti itu dengan PAS serta kebimbangan mengenai kepimpinannya, menurut penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata sebahagian ahli tidak berpuas hati dengan kecenderungan Gerakan yang dilihat semakin ke kanan.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

“Sesetengah pemimpin, baik muda mahupun veteran, nampaknya merasakan Perikatan Nasional (PN), sejak kepimpinannya diambil alih PAS dan Bersatu, ia menjadi semakin lemah, menunjukkan kecenderungan teokratik yang akhirnya bercanggah dengan sifat sekular Gerakan,” katanya kepada FMT.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata sebahagian ahli tidak selesa dengan apa yang mereka anggap sebagai sikap Gerakan yang terlalu tunduk kepada PAS, parti yang menerajui PN. Bagaimanapun, beberapa bekas ahli Gerakan telah menyertai Wawasan dan sayap bukan Islam PAS.

Tan Zhen Zune

Tan Zhen Zune.

“Saya tidak akan mengatakan mereka yang meletak jawatan semestinya tidak selesa dengan PAS kerana mereka mungkin akhirnya menyertai parti lain yang mempunyai kaitan dengan PAS. Satu perkara yang pasti, Gerakan nampaknya tidak lagi mampu menarik atau mengekalkan ramai pemimpin mahupun ahli,” katanya.

Pada 6 Sept, Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Tan Zhen Zune meletak jawatan dalam sayap pemuda serta jawatan timbalan setiausaha agung parti, dengan alasan tidak berpuas hati terhadap kepimpinan dan keputusan yang menurutnya telah mengkompromikan prinsip parti. Beliau kekal sebagai ahli parti.

Hng Chee Wey

H’ng Chee Wey.

New Straits Times melaporkan, Tan berulang kali membangkitkan kebimbangannya kepada kepimpinan parti. Beliau berkata bantahannya bukan terhadap kerjasama dengan PAS atau Umno, tetapi terhadap tindakan berbuat demikian sehingga mengorbankan prinsip Gerakan. Beliau turut memetik kenyataan PAS yang dianggapnya melampau.

Tiga hari kemudian, bekas bendahari agung Gerakan H’ng Chee Wey meletak jawatan selepas 31 tahun bersama parti itu.

Beliau tidak mendedahkan sebab peletakan jawatannya, sebaliknya memuat naik hantaran berkias di Facebook dengan menyatakan bahawa meskipun perbezaan politik perkara biasa dalam demokrasi tetapi ‘tidak perlu menjadi musuh ketat, apatah lagi menyerang atau bermusuhan sesama sendiri’.

Bercanggah dengan kepimpinan parti

Seorang sumber dalaman Gerakan memberitahu FMT, peletakan jawatan itu mencerminkan rasa tidak puas hati sebahagian pihak terhadap usaha Presiden Gerakan Dominic Lau untuk menjalinkan hubungan lebih rapat dengan PAS.

Sumber itu berkata PAS ‘tidak menganggap kita sebagai sekutu dan sentiasa menyerang presiden. Mereka tidak menghormati Gerakan”.

“Namun, setiap kali mereka memerlukan undi, PAS akan datang kepada kami dan parti komponen PN yang lain. Kami tidak mahu menjadi pihak kelas kedua dalam PN. Sebab itulah ahli di Pulau Pinang tidak berpuas hati,” katanya.

Ketegangan antara Lau dengan pemimpin PAS pernah tercetus sebelum ini. Pada Ogos 2023, Lau dihalau keluar dari ceramah PAS di Tasek Gelugor oleh seorang pemimpin parti itu di peringkat negeri.

Pemimpin PAS Pulau Pinang turut membantah keputusan Lau bertanding di kerusi Bayan Lepas pada PRN 2023. Beliau juga dikritik pada Muktamar PAS 2025, sehingga mendorong Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presidennya Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf.

Bagaimanapun, sumber dalaman itu berkata sebahagian ahli Gerakan, khususnya di Kedah, mahu kerjasama tersebut diteruskan.

Menurut sumber itu, kerjasama berkenaan boleh membantu Gerakan bertanding di kerusi campuran yang dipegang PKR dan Barisan Nasional (BN), ketika landskap kerjasama politik terus berubah, termasuk kerjasama antara parti PN dengan BN di Negeri Sembilan.

Bukan petanda tentangan lebih meluas

Fauzi berkata peletakan jawatan itu tidak semestinya menandakan penentangan lebih meluas terhadap penyertaan Gerakan dalam PN, sambil menyatakan bahawa Tan masih kekal sebagai ahli parti. Sebaliknya, beliau berkata perkembangan itu boleh mencetuskan perbincangan mengenai masa depan Gerakan sebagai parti berbilang kaum.

“Masih terdapat kesepakatan umum terhadap prinsip parti, tetapi kebimbangan mengenai masa depannya disuarakan secara terbuka. Jika kepimpinan semasa tidak mengambil langkah berjaga-jaga, keadaan boleh menjadi lebih buruk.

“Ahli yang tidak berpuas hati berharap peletakan jawatan itu akan mencetuskan perbincangan dalaman lanjut, sekali gus menyedarkan akar umbi tentang sebarang perubahan hala tuju ideologi parti dan implikasinya terhadap pendirian parti dalam menangani pelbagai isu,” katanya.

Lau berkata peletakan jawatan itu turut mencerminkan kemarahan akar umbi terhadap apa yang dianggap oleh ahli sebagai layanan buruk PAS terhadap Gerakan serta tindakan meminggirkan parti itu.

Beliau memberikan contoh pelantikan seorang ahli PAS sebagai ketua kampung di sebuah kampung baru Cina di Negeri Sembilan, jawatan yang menurutnya boleh diberikan kepada Gerakan. Beliau turut merujuk bantahan PAS Pulau Pinang terhadap tindakan Lau bertanding di kerusi Bayan Lepas.

Gerakan digesa nilai semula peranan

Lau berkata Gerakan perlu mempertimbangkan semula keanggotaannya dalam PN, sambil menyatakan parti itu gagal memenangi lebih banyak kerusi meskipun gabungan berkenaan mencatatkan kemajuan dalam pilihan raya baru-baru ini.

“Mengapa tidak keluar daripada PN dan bergerak sendiri, atau menyertai Bersatu? Siapa tahu, mungkin Gerakan boleh meraih sokongan dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya, merujuk kepada perpecahan antara Bersatu dengan PAS dalam PN.

“Mungkin parti itu juga tidak akan mendapat sokongan. Namun, berbanding terus kekal dalam PN dan menerima layanan PAS terhadap Gerakan ketika ini, saya fikir risiko meninggalkan gabungan itu berbaloi untuk diambil,” tambahnya.

Fauzi berkata Gerakan tidak boleh menyalahkan PAS atau PN atas masalah yang dihadapinya dalam pilihan raya. Sebaliknya, parti itu perlu menilai semula dasar dan pendiriannya susulan kegagalannya menarik pengundi bukan Melayu daripada Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.

“Jika wajah sebenar PN semakin terserlah menerusi pendirian PAS yang didakwa ekstrem, Gerakan mesti memutuskan sama ada mahu terus kekal. Jika mahu kekal, parti itu mungkin perlu mengubah beberapa pendirian sekularnya yang tegas, sekali gus berisiko mencetuskan konflik dengan PAS.

“Namun, langkah itu boleh mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan anggota parti yang berpegang teguh pada ideologi dan menentang apa yang mereka anggap sebagai pengabaian prinsip yang selama ini dipertahankan. Tiada siapa memaksa Gerakan untuk kekal dalam PN,” katanya.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.