Pengarah urusan syarikat bekal baja bebas dengan jaminan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah membebaskan seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja yang direman berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di negeri ini.
Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan reman selama empat hari sehingga semalam dan dibebaskan sebaik tempoh reman tamat.
Beliau, bagaimanapun memaklumkan suspek dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah setiap bulan dan perlu hadir jika dipanggil untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sebelum ini, SPRM membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan Baja Padi 3 kepada pesawah di Kedah.
Kertas siasatan itu dibuka susulan aduan diterima daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pada 26 Ogos lepas berhubung kelewatan pembekalan baja yang menjejaskan keperluan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), melibatkan kawasan seluas kira-kira 100,000 hektar.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.