WTE penyelesaian kepada tapak pelupusan semakin sesak?

Rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 39,000 tan sisa pepejal setiap hari, sekali gus memberi tekanan semakin besar kepada kapasiti tapak pelupusan yang kian terhad dan dijangka tidak lagi mencukupi menjelang 2050.
Bagi menangani masalah itu, Malaysia merancang membina 18 kemudahan sisa kepada tenaga (WTE) di seluruh negara menjelang 2050 sebagai sebahagian strategi pengurusan sisa jangka panjang.
Teknologi WTE sudah digunakan di banyak negara sebagai sebahagian sistem pengurusan sisa yang lebih menyeluruh, termasuk Singapura, Jepun, United Kingdom serta beberapa negara Eropah seperti Jerman, Switzerland dan Denmark.
FMT melihat dengan lebih dekat bagaimana teknologi WTE moden berfungsi, perbezaannya dengan insinerator konvensional serta kebimbangan yang sering dikaitkan dengannya.
Apa sebenarnya teknologi sisa kepada tenaga?
WTE merujuk kepada kemudahan yang memproses sisa bagi menghasilkan tenaga elektrik. Daripada terus dihantar ke tapak pelupusan, sisa baki yang tidak lagi sesuai dikitar semula selepas bahan boleh dikitar semula diasingkan akan diproses di kemudahan berkenaan.
Sisa dibawa ke dalam fasiliti tertutup sebelum dirawat pada suhu tinggi. Haba yang terhasil kemudiannya digunakan untuk menggerakkan turbin bagi menjana elektrik.
Pakar kejuruteraan alam sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia Marfiah Wahid berkata insinerator konvensional sekadar membakar sisa dengan tujuan melupuskannya.
“WTE pula bukan hanya memproses sisa, tetapi pada masa sama menghasilkan sesuatu yang bermanfaat seperti elektrik atau biogas,” katanya.
Mengapa WTE masih dikaitkan dengan insinerator lama?
Azil Bahari Alias dari Universiti Teknologi Mara berkata antara salah faham utama masyarakat ialah menganggap kemudahan WTE sama seperti insinerator lama.
Menurutnya, tanggapan itu timbul kerana kedua-duanya melibatkan proses pembakaran sisa, walaupun sebenarnya ada perbezaan ketara antara teknologi berkenaan.
Insinerator konvensional pada masa lalu dibina terutamanya untuk mengurangkan jumlah sisa. Kawalan operasi yang kurang baik pula menimbulkan kebimbangan mengenai bau, pembakaran tidak sempurna dan pelepasan bahan pencemar.
Sebaliknya, kemudahan WTE moden dilengkapi sistem kawalan suhu, rawatan pelepasan serta pemantauan berterusan.
“Tujuannya untuk mendapatkan semula tenaga yang berguna sambil memastikan pelepasan kepada alam sekitar dikawal,” kata Azil.
Adakah WTE menjejaskan penduduk berhampiran?
Penduduk yang tinggal berhampiran tapak cadangan WTE sering membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan, kesan terhadap kesihatan dan ketelusan operasi.
Azil berkata kebimbangan seperti itu tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja.
“Orang ramai biasanya bukan menolak teknologi itu sendiri. Sebaliknya, mereka bertindak kerana kurang keyakinan dan kepercayaan.
“Pendedahan data pelepasan secara masa nyata serta maklumat operasi yang telus penting bagi membina keyakinan masyarakat,” katanya.
Antara kebimbangan utama mengenai rawatan sisa secara haba ialah pencemaran udara kerana proses pada suhu tinggi boleh menghasilkan bahan berbahaya sekiranya tidak dikawal dengan baik.
Namun, kemudahan WTE moden dilengkapi sistem penapisan dan pemantauan pelepasan secara berterusan, selain beroperasi pada suhu melebihi 1,000°C bagi menghalang pembentukan bahan berbahaya seperti dioksin dan furan.
Marfiah berkata bahan pencemar daripada kemudahan WTE moden perlu ditapis dan dikawal sebelum dilepaskan ke alam sekitar.
Bau juga sering menjadi kebimbangan, tetapi tidak seperti sistem pengendalian sisa lama, kemudahan WTE moden menyimpan sisa dalam bangunan tertutup dengan aliran udara dikawal bagi mengurangkan masalah itu.
Mengapa kitar semula sahaja tidak mencukupi?
Ketika jumlah sampah dan kebergantungan kepada tapak pelupusan terus meningkat, ada pihak berpendapat usaha kitar semula perlu dipertingkatkan.
Namun, walaupun kitar semula kekal sebagai komponen penting dalam pengurusan sisa, pakar berkata tidak semua jenis sisa boleh dikitar semula disebabkan pencemaran bahan, kekangan teknologi atau faktor kos.
“WTE tidak sepatutnya menggantikan kitar semula. Peranannya untuk menguruskan sisa baki selepas bahan yang masih boleh dikitar semula diasingkan,” kata Azil.
Bagi Malaysia, persoalannya mungkin bukan lagi sama ada negara memerlukan alternatif kepada tapak pelupusan, tetapi bagaimana teknologi seperti WTE dilaksanakan.
Azil berkata masyarakat perlu dilibatkan sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan, bukannya selepas keputusan dibuat.
Menurutnya, masa depan pengurusan sisa bergantung bukan sahaja kepada teknologi, tetapi juga ketelusan dan kepercayaan masyarakat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.