The Daily Newsstand · Free, Always
Friday, November 20, 2026

Selepas menang PRN, Perhimpunan Agung MCA tumpu PRU16

Translate

Perhimpunan Agung MCA hujung minggu ini akan memberi tumpuan utama kepada persiapan menghadapi PRU16, ketika parti itu berusaha memanfaatkan peningkatan sokongan yang diraih dalam beberapa pilihan raya lalu.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, berkata parti itu akan membincangkan strategi memperkukuh akar umbi dan jentera bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Perbincangan kali ini akan sangat berbeza berbanding dua perhimpunan agung sebelum ini, ketika kita mempertimbangkan untuk bergerak solo pada pilihan raya umum akan datang. Segala-galanya berubah selepas Johor,” katanya kepada FMT.

Beliau merujuk kemenangan besar BN pada PRN awal tahun ini.

Dalam PRN itu, MCA memenangi lapan kerusi, iaitu dua lebih banyak berbanding seteru tradisinya, DAP, sekali gus menjadi pencapaian besar bagi rakan Umno yang mewakili masyarakat Cina dalam BN.

Chong berkata, parti itu turut membincangkan strategi menambah bilangan wakil rakyat yang dipilih. MCA kini mempunyai 14 wakil rakyat, termasuk seorang wakil lantikan, serta dua Ahli Parlimen.

Katanya, parti itu juga akan membincangkan ‘garisan merah’ sekiranya BN membentuk kerajaan persekutuan seterusnya bersama Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan MCA akan mendesak Putrajaya mengamalkan pendekatan sederhana.

Timbalan Chong, Dr Pamela Yong, berkata parti itu juga dijangka menilai peranan dan kedudukannya dalam BN, dengan penekanan kepada usaha memperkukuh kerjasama, saling menghormati dan rundingan bermakna antara parti komponen.

Beliau berkata, pemimpin parti turut membincangkan pengajaran daripada pilihan raya terbaharu di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pada PRN Negeri Sembilan Ogos lalu, MCA menamatkan penantian selama 13 tahun untuk kembali ke Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memenangi dua kerusi. Di Melaka, parti itu mengekalkan dua kerusi, iaitu Machap Jaya dan Kelebang, dengan majoriti lebih besar.

“Kita mahu melihat bagaimana kemenangan di 12 kerusi DUN ini boleh dijadikan pelan tindakan bagi menghadapi PRU16,” kata Yong ketika dihubungi, merujuk kepada lapan kerusi yang dimenangi di Johor.

Seorang pemimpin MCA yang enggan dinamakan berharap parti itu turut membincangkan kesan kerjasama BN dengan PN pimpinan PAS terhadap MCA.

Sebahagian anggota parti dilaporkan tidak berpuas hati dengan kerjasama BN bersama parti Islam itu.

“Namun, perkara itu tidak mungkin dibangkitkan sekarang memandangkan kita berjaya memenangi kerusi hasil kerjasama tersebut. Akar umbi semakin menerima idea itu,” tambah pemimpin berkenaan.

Tiga isu

Penganalisis daripada Universiti Tunku Abdul Rahman, Liew Wui Chern, berkata MCA perlu memberi tumpuan kepada tiga isu dalam perhimpunan agung itu, iaitu kedudukan parti dalam kerjasama BN-PN yang terus berkembang, strategi pembahagian kerusi PRU16 serta kerelevanan politiknya kepada pengundi Cina dan di kawasan campuran.

Liew Wui Chern.

Liew berkata, PRN Melaka baru-baru ini memperlihatkan kedudukan parti itu dalam BN.

Katanya, meskipun MCA berjaya mengekalkan kerusi Kelebang dan Machap Jaya, pertikaian terdahulu berhubung pembahagian kerusi yang menyebabkan pemimpin parti bertindak keluar dewan ketika pengumuman calon BN mendedahkan kebimbangan mengenai sama ada MCA masih mempunyai kuasa tawar-menawar dalam gabungan itu.

Liew berkata, parti itu memerlukan kejelasan mengenai kaedah rundingan pembahagian kerusi pada masa depan sekiranya BN meneruskan kerjasama dengan PAS dan PN, sambil menyatakan MCA ‘kurang selesa’ dengan hubungan antara gabungan itu yang semakin rapat, khususnya antara Umno dan PAS.

Beliau berkata, perhimpunan agung itu boleh dimanfaatkan untuk membina kesepakatan dalam kalangan akar umbi mengenai sama ada MCA patut menerima kerjasama lebih erat dengan PN serta batasan yang perlu ditetapkan, antara lain.

“MCA juga perlu menilai kawasan mana yang secara realistik boleh menjadi medan untuk parti itu membina semula sokongan, bukannya sekadar menuntut lebih banyak kerusi.

“Persoalan lebih besar ialah sama ada MCA mampu menentukan peranan politik yang jelas, melangkaui sekadar mengkritik DAP, dan menterjemahkannya kepada sokongan pengundi sebelum PRU16.”

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.