Deepavali pertama tanpa Indiran

Bagi Usha Suppiah, Deepavali sentiasa menjadi masa untuk berkumpul bersama keluarga. Rumahnya akan meriah dengan kehadiran saudara-mara, kesibukan menyediakan juadah perayaan dan anak-anak yang berkumpul untuk membuat muruku.
Namun, sambutan tahun ini berbeza kerana anak sulungnya, K Indiran, tiada lagi di sisi keluarga.
Pada 18 Feb lepas, anggota tentera berusia 22 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di Kem Tentera Batu 10 di Kuantan. Dia menghembuskan nafas terakhir dua hari kemudian ketika menerima rawatan.
“Kali terakhir Indiran ada bersama kami, semuanya gembira. Tetapi tahun ini, dia sudah tiada. Apabila seorang ahli keluarga tiada, memang terasa ada sesuatu yang kurang.
“Saya sangat rindukannya. Semua ahli keluarga pun merinduinya. Tetapi kehidupan perlu diteruskan,” kata Usha, 52, kepada FMT Lifestyle.
Mengikut tradisi Hindu yang diamalkan keluarganya, mereka tidak akan meraikan Deepavali selama setahun selepas kematian ahli keluarga.
Bagaimanapun, Usha bersama tiga lagi anaknya tetap akan mengadakan upacara sembahyang dan pertemuan sederhana bersama saudara-mara yang datang dari seluruh negara.

Anak bongsunya yang berusia 12 tahun masih cuba memahami mengapa sambutan Deepavali tahun ini tidak lagi seperti dahulu.
“Dia bertanya, ‘Amma, kenapa Anna (abang) dah tak ada? Kita tak boleh sambut Deepavali, kan?’
“Saya beritahu dia, ‘Ya, Anna dah tak ada, tetapi kita tetap akan sembahyang. Kita tak sambut secara besar-besaran, cuma makan-makan bersama keluarga’,” kata Usha yang bekerja sebagai jururawat.
Pada tahun-tahun sebelumnya, Indiran akan pulang kira-kira seminggu sebelum Deepavali untuk membantu membersihkan dan menghias rumah, menemani ibunya membeli-belah serta menyediakan juadah tradisional seperti muruku.
Indiran juga sering menjadi penyeri setiap kali keluarga berkumpul, dengan telatahnya yang menghiburkan saudara-mara dan rakan-rakan.
“Pakcik dan kawan-kawan Indiran akan berkumpul dan minum bersama. Kemudian Indiran akan menari dan menyanyi.
“Kami semua seronok kerana dia akan menari bersama kami. Kenangan itu memang tak boleh saya lupakan,” kata Usha.
Selepas bapanya, seorang pegawai tentera udara, meninggal dunia dalam nahas pesawat pada 2016, Indiran mula memikul tanggungjawab lebih besar dalam keluarga.
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, dia banyak membantu ibunya menguruskan rumah tangga dan menjaga adik-adiknya.
“Dia jaga adik-adiknya. Dia akan masak nasi, bersihkan rumah … sama seperti suami saya, dia rajin bantu buat semua kerja rumah,” kata Usha.
Susulan kehilangan suami dalam nahas pesawat, Usha pada mulanya keberatan membenarkan Indiran menyertai angkatan tentera.

Namun, beliau akhirnya akur dengan keputusan anaknya yang bertekad memilih kerjaya itu.
Indiran belum pun genap dua tahun berkhidmat dalam angkatan tentera ketika dia meninggal dunia. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Indiran dikenali sebagai seorang yang mempunyai keperibadian yang baik dan merendah diri.
Dia juga mahir dalam bidang fotografi dan sering mengambil gambar pada acara di kem tentera yang dihadiri pegawai kanan, selain pernah menerima latihan mengendalikan dron.
Namun, perkara yang paling dirindui Usha ialah kenangan kecil dalam kehidupan seharian bersama anaknya, terutama panggilan telefon Indiran yang sentiasa bertanyakan khabarnya.
“Dia akan telefon beberapa kali sehari dan tanya, ‘Amma, apa khabar? Dah makan? Macam mana kerja hari ini? Makan elok-elok, tidur cukup-cukup, jaga diri.’
“Saya sangat rindukan panggilan dan suaranya. Tiada siapa boleh menggantikan tempatnya,” kata Usha.

Kira-kira seminggu sebelum kematian Indiran, Usha sempat bertemu anaknya di Taiping dan memasak beberapa hidangan kegemarannya, termasuk sodhi ikan, bayam dan lala.
“Kemudian kami pergi ke sebuah restoran Cina. Saya suapkan dia makanan dan dia pun suapkan saya.
“Dia kata, ‘Amma, nasib baik Amma datang.’ Itulah kali terakhir saya masak makanan kegemarannya,” katanya.
Deepavali tetap membawa makna sama seperti dahulu bagi Usha. Cuma kali ini, anak yang sentiasa memeriahkan sambutan bersama keluarga sudah tiada.
“Walaupun dia sudah tiada, kami masih rasa seolah-olah dia ada bersama kami. Kami tak dapat lihatnya, tetapi seluruh keluarga masih dapat rasakan kehadirannya.
“Kami pasti akan merindui telatah lucunya, gurauan nakalnya serta kasih sayang dan gelak tawa yang dibawanya dalam kehidupan kami,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.