Malaysia tolak gesaan henti bahan api fosil serta-merta

Malaysia menolak desakan menghentikan penggunaan bahan api fosil secara mendadak pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-31 (COP31) baru-baru ini, sebaliknya memilih peralihan berperingkat demi menjamin keselamatan tenaga negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, berkata penggunaan arang batu, minyak dan gas tidak boleh dihentikan serta-merta tetapi perlu dilaksanakan secara teratur mengikut keupayaan negara.
“Peralihan ini perlu dilaksanakan secara adil, berperingkat, teratur dan bertanggungjawab dengan mengambil kira keadaan, keupayaan serta tahap pembangunan setiap negara.
“Namun, Malaysia kekal komited terhadap sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai pendirian Malaysia terhadap desakan global menghentikan bahan api fosil susulan kebuntuan rundingan pada persidangan COP31 di Turki.
Sidang kemuncak iklim PBB yang bermula 9 Nov berlanjutan kira-kira dua hari melangkaui tarikh akhir 20 Nov sebelum berakhir tanpa persetujuan terhadap Antalya Pact, cadangan utama dikemukakan Turki dan Australia.
Draf akhir itu gagal mendapat konsensus selepas tidak menyebut mengenai bahan api fosil sehingga ditolak Kesatuan Eropah, United Kingdom dan negara terjejas iklim, manakala Arab Saudi serta Rusia membantah rujukan pengurangan sektor itu, selain pertikaian mengenai pembiayaan iklim untuk negara membangun.
Mengulas lanjut, Kurup berkata walaupun Antalya Pact gagal dimuktamadkan, rundingan agenda lain berjaya membawa pulang manfaat khususnya dari segi pembiayaan iklim dan pelaburan hijau.
Katanya, antara pencapaian utama ialah kelulusan Program Kerja Pembiayaan Iklim bagi tempoh 2027 hingga 2028 di bawah Artikel 9.1 Perjanjian Paris, selain penekanan terhadap pembiayaan berbentuk geran dan konsesi tinggi melalui Dana Iklim Hijau.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.