Penjawat awam disyaki bawa masuk wanita warga asing di KLIA ditahan

Seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki cuba membawa masuk wanita warga asing secara tidak sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, Selasa lalu
Ketua Polis KLIA, M Ravi, mengesahkan menerima laporan berhubung penahanan lelaki berusia 40 tahun itu pada 1.18 pagi oleh pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
“Suspek ditahan kerana cuba membawa masuk wanita berusia 38 tahun itu ke Malaysia tanpa pas perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan ke atas lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Siasatan terhadap wanita itu pula dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana masuk ke Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.