Rasa malu dorong Faye mengenali ‘keluarga’ Malaysia

Kelabit. Kiput. Dusun Tatana. Melanau. Satu demi satu nama itu diperkenalkan kepadanya, namun Lim Sheng Feiyan hanya mampu mengerutkan dahi sambil tertanya-tanya siapakah mereka.
Segalanya bermula sekitar 2016 apabila Lim, atau lebih mesra dikenali sebagai Faye Lim, menghadiri sebuah perayaan yang menggabungkan sambutan Kaamatan dan Gawai.
Di situ, aktivis sosial itu buat pertama kali berdepan dengan kepelbagaian budaya Sabah dan Sarawak yang sebelum itu kurang dikenalinya.
“Saya jumpa orang dan mereka kata, ‘Saya orang Kelabit.’ Kemudian ada yang kata, ‘Saya orang Kiput.’ Saya fikir, apa ini? Saya tidak faham,” katanya kepada FMT.
Faye mengakui ketika itu dia berasa malu kerana menyedari masih banyak kaum dan etnik di Malaysia yang langsung tidak dikenalinya.
Kesedaran itu kemudian mendorongnya mencari, mendengar dan merakam kisah komuniti kecil di seluruh negara, terutama mereka yang selama ini tenggelam di sebalik kategori “dan lain-lain”.
Misi mengenali ‘keluarga’ Malaysia
Perjalanan itu berkembang menerusi The Rojak Projek, sebuah inisiatif yang menggunakan seni, makanan dan budaya untuk mendekati masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Antara projek awal Faye ialah menghasilkan potret rakyat Malaysia menggunakan makanan seperti onde-onde, laksa dan nasi lemak.
Daripada projek itu, dia mula menyedari bahawa kepelbagaian masyarakat Malaysia jauh lebih luas daripada apa yang diketahuinya.
Sehingga kini, Faye berjaya mengumpul maklumat mengenai lebih 250 kumpulan etnik dan subetnik di Malaysia.
“Kalau saya lihat kehidupan saya sekarang, selepas berjumpa dengan begitu ramai orang, saya rasa saya tidak dapat bayangkan hidup tanpa mengenali mereka.
“Saya dapat begitu banyak pengetahuan, hubungan dan pengalaman daripada perjalanan itu,” kata wanita berusia 36 tahun itu.
Pada 2025, usahanya membawanya ke pedalaman Sarawak selepas menerima geran Yayasan Gamuda untuk menjejaki dan mendokumentasikan budaya komuniti Orang Ulu.
Faye dan pasukannya pada awalnya menyasarkan untuk menemui 15 komuniti, namun akhirnya berjaya merakam kisah 18 komuniti termasuk Lun Bawang, Kedayan, Bisaya, Tabun, Berawan, Tering, Sa’ban, Kenyah, Penan dan Penan Peruan.
Kisah mereka kemudian dikongsi menerusi media sosial The The Rojak Projek dan Canvas Art Malaysia bagi memperkenalkan budaya serta kehidupan komuniti berkenaan kepada khalayak lebih luas.
“Sebagai orang Semenanjung, saya sedar memang ramai antara kita yang tidak mengenali mereka. Tetapi apa yang menarik, saya dapati orang Sarawak sendiri pun ada yang tidak mengenali komuniti-komuniti kecil ini.
“Kalau saya sebut nama seperti Kiput, Sa’ban atau komuniti minoriti lain, ramai orang di Sarawak pun mungkin tidak tahu siapa mereka. Tetapi apabila kita bawa kisah mereka ke khalayak dan beri mereka ruang untuk berkongsi, barulah lebih ramai mengetahui kewujudan mereka,” katanya.
Warisan yang semakin terancam
Bagi Faye, jumlah yang kecil tidak seharusnya menyebabkan kewujudan sesebuah komuniti dipinggirkan, lebih-lebih lagi apabila bahasa, adat dan budaya mereka berdepan risiko pupus.
Penghijrahan generasi muda ke bandar, katanya, menyebabkan golongan lebih tua menjadi antara kelompok terakhir yang masih mengamalkan serta memahami warisan komuniti masing-masing.
“Contohnya komuniti Tabun. Mungkin hanya sekitar 20 hingga 30 orang sahaja yang masih direkodkan sebagai Tabun. Yang lain sudah hampir pupus,” katanya.
Usaha mendokumentasikan komuniti terbabit turut membawa Faye dan pasukannya ke kawasan pedalaman Sarawak, termasuk melalui perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan bot.
Ada kalanya mereka berdepan jalan sukar serta liputan telekomunikasi yang tidak menentu.
“Pernah kami terkandas ketika hari sudah gelap tanpa talian telefon. Saya sampai menangis, tetapi nasib baik seorang daripada kami berjaya mendapatkan talian dan meminta bantuan,” katanya.
Namun, pengalaman itu menguatkan tekad Faye untuk terus mengangkat kisah komuniti yang selama ini kurang dikenali.
“Kita mesti berusaha mengenali ‘keluarga’ kita di Malaysia.
“Malaysia tidak sama kalau kita tidak bersama,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.