‘Kalau tak minat, beritahu sahaja’, Amirudin seru BN menjelang PRN Melaka

Pakatan Harapan (PH) tiada masalah bergerak solo pada PRN Melaka selain menyeru Barisan Nasional (BN) berterus-terang jika tidak berminat bekerjasama, kata Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari.
Beliau turut mempersoal perkembangan pendirian BN yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kemungkinan kerjasama.
“Mulanya dia kata macam nak pergi solo, kemudian dia kata nak pergi dengan PAS, lepas itu boleh pula nak pergi dengan PH.
“Jadi, itu mungkin untuk mengaburi pihak lawan dan kawan,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan jentera Masjid Tanah, Melaka, malam tadi.
Amirudin berkata, setakat ini tiada ura-ura untuk BN bekerjasama, sambil menyifatkan gabungan tersebut mungkin ‘tidak berminat’.
“Kita tiada masalah kalau tak minat, bagi tahu saja kita teruskan (kerjasama tanpa BN),” katanya.
Katanya, PH bersedia menghadapi pelbagai senario, termasuk bertanding secara solo, membentuk jajaran baharu atau bekerjasama dengan Umno-BN.
Beliau menegaskan, PH tidak akan menunggu perkembangan rundingan semata-mata, sebaliknya meneruskan persiapan termasuk menggerakkan jentera, memperkukuh pasukan dan membuat persediaan di kawasan dikenal pasti untuk ditandingi.
Pada 31 Ogos, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata rundingan rasmi mengenai kerjasama BN dengan mana-mana gabungan berdepan PRN Melaka hanya akan diputuskan selepas DUN dibubarkan.
Beliau yang juga pengerusi BN, berkata mandat berhubung perkara itu telah diberikan kepada Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh untuk memperincikan maklumat berkaitan data serta perkembangan politik negeri itu.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.