Tiada peringkat rantaian subsidi kebal ketirisan, menurut kajian

Tiada satu pun peringkat dalam rantaian bekalan subsidi minyak masak, beras dan padi yang benar-benar kebal daripada ketirisan, menurut kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penyelidik Fakulti Undang-undang UKM, Nur Atheefa Sufeena M Suaree, berkata kelemahan kawalan wujud di setiap peringkat, membuka ruang kepada pelbagai bentuk salah guna.
“Tidak ada mana-mana peringkat yang benar-benar terkawal, sebaliknya terdapat ruang untuk salah guna di setiap peringkat,” katanya ketika membentangkan kajian pada Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Kajian dijalankan dari 1 Ogos 2024 hingga 31 Julai 2025 itu melibatkan kerja lapangan di lima zon iaitu utara, barat, pantai timur, selatan serta Sabah dan Sarawak.
Bagi subsidi minyak masak, antara punca ketirisan dikenal pasti ialah jurang harga antara minyak masak peket bersubsidi RM2.50 sekilogram dengan minyak masak botol di pasaran yang boleh mencecah RM7 hingga RM9.
Kajian turut menemukan penyalahgunaan kuota isi rumah oleh peniaga mikro, premis tanpa operasi sebenar, pembungkusan semula secara haram serta pembelian secara beramai-ramai atau ‘smurfing’ bagi mendapatkan bekalan subsidi.
Di peringkat pembungkusan pula, katanya, terdapat minyak masak yang ditimbang kurang daripada 1kg, walaupun kerajaan membayar subsidi berdasarkan kuantiti penuh.
Bagi beras dan padi, kajian mendapati wujud manipulasi timbangan, tuntutan menggunakan resit palsu, pencampuran beras tempatan dan import serta ketidakakuratan pelabelan.
Nur Atheefa berkata, dapatan itu menunjukkan ketirisan subsidi tidak boleh ditumpukan pada satu peringkat sahaja kerana setiap proses daripada pengilang, pemborong, peruncit hingga pengguna mempunyai ruang untuk salah guna.
Beliau mencadangkan kerajaan memperkukuh sistem jejak rantaian bekalan melalui pendigitalan, selain mempertimbangkan subsidi bersasar dan berkuota.
“Kalau kita tidak mampu melaksanakan semuanya, jangan tinggalkan semuanya. Kita perlu bergerak ke arah pendigitalan supaya transaksi dari satu peringkat ke satu peringkat dapat dikesan dan lebih telus,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.