Saya tarik diri, kata bekas ketua DAP Melaka berkait pelan ‘PH Plus’

Bekas pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo akan memboikot kempen Pakatan Harapan (PH) bagi PRN Melaka pada 14 Nov ini susulan khabar angin berhubung kemungkinan persefahaman pilihan raya dengan Bersatu.
Bekas Adun Duyong itu berkata, beliau menemui seorang lagi bekas ketua DAP Melaka, Tey Kok Kiew, baru-baru ini di mana mereka membincangkan strategi PH bagi PRN akan datang.
“Tetapi, apabila saya mendapat tahu rancangan di bawah PH Plus mungkin melibatkan penyerahan kerusi Bemban kepada Bersatu, reaksi spontan saya ialah ‘Lupakan saja, saya tarik diri’.
“Luka akibat ditikam dari belakang belum sembuh. Sesetengah pengkhianatan politik terlalu sukar untuk dilupakan, apatah lagi dimaafkan,” katanya merujuk peranan Bersatu dalam kejatuhan kerajaan persekutuan dan kerajaan Melaka pimpinan PH pada 2020.
“Selepas dengar semua ini, saya telah membuat keputusan: Saya tarik diri. Tiada lagi politik. Tiada lagi kempen pilihan raya.
“Ada perkara lain lebih berfaedah untuk saya lakukan dalam hidup saya. Semoga berjaya kepada semua,” kata Yeo dalam hantaran di Facebook.
Yeo dilantik menerajui DAP Melaka pada 2021 susulan peletakan jawatan Tey. Beliau melepaskan jawatan itu dua tahun kemudian.
Yeo yang juga peguam, dipilih sebagai Adun Duyong pada 2018 dengan majoriti 2,895 undi. Beliau kehilangan kerusi itu kepada Noor Helmy Abdul Halem daripada Umno pada PRN 2021 dengan majoriti tipis 200 undi.
PH Melaka menegaskan ia akan bertanding solo pada PRN akan datang, tetapi spekulasi berhubung persefahaman pilihan raya dengan Bersatu terus bertebaran.
Spekulasi ini semakin hangat susulan majlis makan malam antara pemimpin PH negeri dan Bersatu pada bulan lalu, walaupun wakil DAP tidak hadir.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.