PROBIN-M gesa kelayakan subsidi diesel lori RoRo dikembalikan

Persatuan Pengusaha Roll-On Roll-Off Bin Malaysia (PROBIN-M) menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi menuntut kelayakan subsidi diesel untuk lori RoRo yang digunakan dalam perkhidmatan pengurusan sisa dikembalikan.
Pengerusinya Wan Mohd Zharif Wan Zulkiffeli berkata sebahagian pengusaha kehilangan kelayakan subsidi selepas nama atau klasifikasi kenderaan dalam Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) berubah susulan pemeriksaan.
Menurutnya, keadaan itu berlaku walaupun fungsi kenderaan berkenaan tidak berubah dan masih digunakan untuk membawa tong RoRo serta mengutip dan mengangkut sisa dari kawasan komersial, perindustrian dan pembinaan.
“Fungsi kenderaan tidak berubah. Kelayakan tidak wajar terpadam hanya kerana perubahan nama model dalam VOC,” katanya selepas menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri Aznur Hafeez Kaswuri.
PROBIN-M mendakwa wujud perbezaan kelayakan subsidi bagi lori yang menjalankan fungsi pengurusan sisa sama.
Menurut persatuan itu, kenderaan yang masih direkodkan sebagai “Lori Rigid Sampah” berpotensi menerima subsidi diesel, manakala lori yang klasifikasinya dikemas kini kepada “Lori Roll-On Roll-Off” tidak lagi layak.
Wan Mohd Zharif berkata masalah berkenaan bukan berpunca daripada perubahan fungsi operasi kenderaan, sebaliknya ketidakselarasan klasifikasi dan rekod pentadbiran antara agensi berkaitan.
“Pengusaha yang mematuhi proses pemeriksaan dan pengemaskinian rekod tidak sepatutnya dihukum apabila perubahan istilah dalam VOC menyebabkan mereka hilang kelayakan subsidi,” katanya.
Beliau berkata kehilangan subsidi itu meningkatkan kos perjalanan dan kutipan harian, selain memberi tekanan kepada aliran tunai pengusaha yang terikat dengan kontrak sedia ada.
Katanya, peningkatan kos operasi yang berterusan juga berpotensi menjejaskan kelancaran kutipan sisa, sekali gus memberi kesan kepada kontraktor, peniaga, sektor industri dan pengguna.
“Isu ini bukan hanya mengenai kos pengusaha. Jika operasi kutipan terganggu, ia boleh memberi kesan kepada kebersihan awam, kesihatan masyarakat dan imej negara,” katanya.
Dalam memorandum itu, PROBIN-M menggesa kerajaan memulihkan kelayakan subsidi diesel bagi lori RoRo yang digunakan untuk mengutip dan mengangkut sisa, termasuk kenderaan yang terjejas susulan perubahan nama atau klasifikasi dalam VOC.
Persatuan itu turut meminta kerajaan mengenakan moratorium terhadap penolakan permohonan yang berpunca semata-mata daripada ketidakpadanan istilah serta menyelaraskan data dan kod antara Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom dan agensi berkaitan.
PROBIN-M juga mencadangkan satu mekanisme rayuan pantas diwujudkan serta kes terdahulu yang ditolak atau dihentikan akibat perubahan klasifikasi disemak semula.
Persatuan itu turut meminta kerajaan memberikan maklum balas bertulis serta mengambil tindakan awal dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas memorandum berkenaan diterima.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.