Auku: Kebebasan bersuara boleh diperbaiki, autonomi perlu difikirkan

Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR 2026 bahawa kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) disambut sebagai satu detik penting.
Bagi mereka yang lama memperjuangkan pembaharuan pendidikan tinggi, ia dilihat sebagai penunaian janji tertangguh. Hasrat memperbaharui itu wajar dihargai, dan penulis termasuk dalam kalangan menyokong penambahbaikan Auku. Arah itu betul.
Namun, sokongan terhadap pembaharuan tidak seharusnya membutakan kita daripada bertanya soalan lebih halus iaitu adakah alasan dikemukakan setimpal dengan tindakan diambil? Kerana dalam wacana semasa, dua perkara berbeza sering dicampuradukkan iaitu antara kebebasan bersuara mahasiswa dan ahli akademik di satu pihak, dan autonomi institusi universiti di pihak lain.
Keduanya penting, namun ia bukan perkara sama, malah kekeliruan antaranya boleh membawa kita membuat keputusan besar atas sebab yang kecil.
Soal kebebasan sebahagian besar sudah ditangani
Kebimbangan mengenai kebebasan bersuara mahasiswa adalah nyata dan sah. Tetapi, harus diakui secara jujur ia bahagian yang telahpun ditangani secara berperingkat. Pindaan 2012 membuka ruang penglibatan politik di luar kampus. Pindaan berikutnya membenarkan kegiatan politik dalam kampus.
Pindaan terbaharu pada 2024 memindahkan kuasa tindakan tatatertib pelajar daripada naib canselor kepada sebuah jawatankuasa, dan membenarkan badan pelajar mengumpul serta menguruskan dana sendiri.
Ertinya, sekiranya baki rasa tidak puas hati mahasiswa berkisar pada ruang bersuara dan berpersatuan, ia boleh dan sepatutnya diselesaikan menerusi penambahbaikan lanjut yang lebih tegas.
Soal kebebasan tidak dengan sendirinya menuntut pembongkaran keseluruhan sebuah akta induk. Ia dapat dicapai dengan pisau bedah; ia tidak memerlukan tukul struktur.
Nisbah tak seimbang
Di sinilah letaknya persoalan lebih pokok. Memansuhkan Auku bukan sekadar satu reformasi kebebasan, bahkan satu pembinaan semula asas tadbir urus setiap universiti awam. Auku bukan hanya Seksyen 15 yang menjadi tumpuan media.
Ia akta induk menentukan bagaimana sesebuah universiti ditubuhkan, siapa melantik lembaga pengarah dan naib canselornya, bagaimana ia menjana pendapatan dan atas syarat apa ia menerima pelajar.
Beberapa bulan lalu, menteri pendidikan tinggi sendiri mengakui betapa besarnya implikasi ini apabila menjelaskan bahawa pemansuhan Auku akan memaksa penggubalan perlembagaan baharu bagi setiap universiti awam, satu proses memakan masa dan berpotensi mengganggu operasi institusi.
Pengakuan itu secara tidak langsung, mengesahkan hakikat yang sering terlepas pandang iaitu isu sebenar Auku ialah seni bina kuasa dan tadbir urus, bukan semata-mata hal ehwal mahasiswa. Beliau amat jelas, tepat, dan tegas dalam pendirian tersebut.
Maka, menarik tuas sebesar itu dengan implikasi yang begitu meluas semata-mata untuk menjawab soal kebebasan bersuara adalah satu nisbah tidak seimbang. Ia mencetuskan kesan yang amat besar atas alasan yang sebenarnya tidak memerlukannya.
Kelajuan dan godaan kepercayaan
Ada satu lagi kebimbangan lebih halus. Tidak sampai enam bulan sebelum pengumuman ini, pendirian rasmi masih menyatakan penambahbaikan lebih realistik daripada pemansuhan. Dalam tempoh singkat itu, pendirian berubah sama sekali bukan kerana muncul rasional dasar baharu, tetapi dilihat seiring motif momentum politik.
Rakyat berhak bertanya sama ada ini pembaharuan dirancang dengan teliti atau keputusan itu dipacu keperluan memulihkan kepercayaan terhadap reformasi yang hangat dibicarakan di konvensyen dua parti besar kerajaan.
Dan di sinilah paradoksnya. Kepercayaan tidak boleh dikejar secara langsung; ia hanya diperoleh sebagai hasil daripada istiqamah. Reformasi tergesa-gesa demi merebut kepercayaan menghakis kepercayaan itu sendiri, kerana masyarakat kita sudah lama pandai membezakan antara kesungguhan iltizam dan pengiraan bermusim.
Kelajuan, dalam hal ini, boleh menjadi pengkhianat kepada matlamatnya sendiri.
Perlu dibezakan antara ketegasan dan ketergesaan. Ketegasan ialah mengisytiharkan komitmen, lalu menunaikannya dengan betul.
Ketergesaan ialah mengumumkan sesuatu untuk menangkap momen, sebelum kerangkanya benar-benar wujud. Ukuran sebuah reformasi bukan pada tarikh pengumumannya, tetapi pada mutu akta menggantikannya.
Ujian sebenar ialah pengganti, bukan pemansuhan
Justeru, perhatian kita seharusnya tertumpu bukan pada perkataan ‘mansuh’, tetapi pada kerangka yang akan menggantikannya. Jika akta gantian digubal secara tergesa untuk memenuhi kitaran politik, maka soalan yang paling menentukan ialah siapa yang akan berkuasa melantik lembaga dan naib canselor, sejauh mana campur tangan eksekutif dibenarkan.
Adalah menjadi harapan yang sangat besar supaya soalan ini dijawab secara mendalam, bukan sambil lewa. Kita mungkin membatalkan sebuah nama, sedangkan seni bina kawalannya dibina semula dalam bentuk yang baharu. Membatalkan akta bukan jaminan membongkar struktur.
Harus diakui pula ada pandangan balas yang munasabah bahawa akta yang terpaksa dipinda berulang kali sejak 1971 itu sendiri membuktikan ia dibina atas premis yang salah, dan jalan yang benar ialah menggantikannya sepenuhnya, bukan terus menampalnya.
Hujah ini ada kekuatannya. Tetapi, kerana ia menyentuh premis yang sedalam itu, ia menuntut kesabaran dan kedalaman bukan kesegeraan. Sebab yang besar memerlukan pertimbangan yang besar.
Perbaiki dengan tegas, mansuh dengan sabar
Maka pendirian ini boleh diringkaskan begini. Jaminlah kebebasan bersuara mahasiswa dan ahli akademik sekarang, secara tegas, menerusi penambahbaikan yang jelas dan segera. Itu boleh dan wajar dilakukan tanpa berlengah.
Namun, janganlah tergesa memansuhkan dan menggantikan sebuah akta induk semata-mata atas kekuatan hujah kebebasan kerana taruhan sebuah akta induk itu bersifat peradaban, dan ia layak dibahaskan atas alasannya yang sebenar, iaitu autonomi institusi dan teras keilmuan universiti.
Institusi ilmu bergerak pada waktu peradaban, generasi, pembentukan insan, pembangunan umran yang perlahan. Ia tidak boleh dipandu sepenuhnya oleh jam politik.
Sekiranya Auku benar-benar hendak dimansuhkan, biarlah ia atas sebab yang jauh lebih mendalam daripada kebebasan bersuara, disertai garis masa yang telus, draf yang dibuka untuk maklum balas awam, dan libat urus yang sebenar bersama mahasiswa, warga akademik, dan masyarakat sivil.
Ibn Khaldun sudah lama mengingatkan apabila ilmu tunduk sepenuhnya kepada kuasa, bukan ilmu sahaja yang merosot, tetapi umran itu sendiri. Kepercayaan ialah amanah, dan amanah tidak boleh dipercepat; ia hanya boleh ditunaikan.
Tragedi yang paling wajar kita elakkan ialah mencetuskan implikasi yang besar demi alasan yang kecil, lalu melakukannya secara tergesa. Kita menyokong pembaharuan. Justeru, kerana itulah kita mahu ia dilakukan dengan betul.
Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pengerusi teras politik di Musyawarah Nasional.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.