Kenyataan kontroversi Khoo beri kesan pada pengundi Melayu DAP, kata Kian Ming

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, memberi amaran kenyataan kontroversi Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, berhubung penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu pada setiap hari Jumaat boleh menyebabkan parti itu kehilangan undi Melayu pada PRU16.
Dalam beberapa hantaran di X, Ong menjadikan kawasan Parlimen Bangi sebagai contoh, dengan berkata terdapat risiko apabila pengundi Melayu mengundi pada PRU16, mereka tidak akan ingat sumbangan Syahredzan Johan sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu.
Sebaliknya, katanya, pengundi Melayu akan ingat hantaran Khoo, yang juga setiausaha pengelola DAP, mengenai solat Jumaat.
Ong, yang meninggalkan DAP pada Ogos, berkata parti itu berisiko kehilangan kerusi berkenaan sekiranya Barisan Nasional atau Perikatan Nasional meletakkan calon Melayu yang sederhana dan inklusif untuk menentang Syahredzan.
“Sedih melihat kerja keras yang dilakukan Syahredzan dan pasukannya terjejas akibat tindakan dan kenyataan bodoh seperti provokasi yang dilakukan Khoo,” katanya.
Ong berkata kontroversi itu juga boleh memberi kesan kepada kerusi DAP lain yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar, seperti di Bentong dan Raub.
Beliau turut berkata walaupun Khoo atau Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, memohon maaf atas kenyataan itu, tetapi kerosakan sudah pun berlaku.
“(Ini) satu lagi contoh DAP yang menembak kakinya sendiri.”
Semalam, Khoo dikecam pengguna Facebook dan ahli politik pelbagai parti termasuk Pemangku Ketua PKR Melaka Adam Adli dan Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berhubung hantarannya yang mengkritik arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu untuk solat Jumaat.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Kota Melaka itu memohon maaf atas kenyataannya, dengan mengakui pemilihan kata-kata dan nada beliau telah menyebabkan salah faham serta menyinggung perasaan umat Islam.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.