Keputusan exco tiada kesan, Tuanku Muhriz kekal Yang Dipertuan Besar, kata DKU

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan keputusan exco negeri berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak mempunyai kesan undang-undang kerana perkara itu di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
Setiausahanya Raja Norazli Raja Nordin dalam kenyataan berkata perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar serta Undang, terletak dalam bidang kuasanya menurut Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan Proklamasi tersebut atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya sambil menekankan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua DKU.
“Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah.”
Semalam, barisan exco Negeri Sembilan berkata penurunan takhta Tuanku Muhriz pada April adalah sah dan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar kini Yang Dipertuan Besar negeri itu.
Menurut kenyataan exco, proklamasi 19 April ditandatangani serta dicop mohor oleh Undang Luak yang menurutnya sah dan berkuat kuasa.
Raja Norazli berkata kenyataan exco semalam tidak mempunyai kesan, setakat ia bertujuan mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan Yang Dipertuan Besar baharu dan mengarahkan pelaksanaannya serta-merta.
“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.
Pada masa sama, Raja Norazli berkata DKU menyambut baik kenyataan Menteri Besar Ismail Lasim pada 15 Sept bahawa beliau tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.
Menurutnya, pendirian Ismail bahawa kesahan dan kesan sesuatu proklamasi perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman, adalah selaras UUTKNS.
Proklamasi 19 Apr kekal cacat
Beliau turut menegaskan proklamasi bertarikh 19 April yang dikatakan menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta kekal cacat dan terbatal.
Menurutnya, tiada siasatan di bawah Perkara X(1) UUTKNS pernah dilaksanakan, manakala tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi itu didakwanya tidak memegang jawatan Undang pada tarikh berkenaan.
“Keengganan menteri besar (Aminuddin Harun) ketika itu untuk menandatangani proklamasi berkenaan juga bermakna fungsi di bawah Perkara X(2) telah dilaksanakan, menyebabkan dokumen itu luput dan terbatal.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak boleh memulihkan kecacatan tersebut,” katanya.
Jelasnya, sebarang proklamasi bagi memilih Yang Dipertuan Besar baharu yang bersandarkan asas sama dan ditandatangani individu tidak memegang jawatan Undang secara sah juga tidak mempunyai kesan undang-undang.
Menurutnya, prerogatif Undang Yang Empat hanya boleh dilaksanakan oleh Undang yang memegang jawatan secara sah serta mengikut syarat dan prosedur ditetapkan UUTKNS.
Susulan itu, Raja Norazli berkata pegawai kerajaan negeri tidak dikehendaki bertindak atas arahan untuk menurunkan Tuanku Muhriz dari takhta kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan UUTKNS serta ketetapan dewan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.