Syarikat tapis minyak diarah bayar bekas pengurus RM585,000

Mahkamah Perusahaan memerintahkan syarikat penapisan minyak mentah membayar hampir RM585,000 kepada seorang bekas pengurus kanan selepas memutuskan pemberhentiannya tidak dilakukan secara suci hati.
Pengerusi Mahkamah Perusahaan, D Paramalingam, berkata Hengyuan Refining Company Bhd gagal membuktikan jawatan Zalizan Muid secara tulen bertindan berikutan penstrukturan semula.
Mahkamah mendapati Zalizan, yang diberhentikan kerja pada 1 Jun 2024, telah dijadikan sasaran terpilih meskipun fungsi tugasnya terus wujud dalam syarikat berkenaan.
Zalizan menyertai Hengyuan pada Julai 2022 sebagai pengurus kecemerlangan operasi dan kejat, sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengurus kanan pada Januari 2024. Gaji bulanan terakhirnya ialah RM29,410.
Syarikat itu berhujah bahawa jawatannya melebihi keperluan berikutan langkah penstrukturan semula yang disyorkan perunding luar, Mercer, bagi memperkemas operasi dan mengurangkan kos di sebalik kerugian yang semakin meningkat.
Namun, Paramalingam berkata laporan Mercer pada Mei 2023 ada mengesyorkan jawatan Zalizan dikekalkan tanpa perubahan.
Beliau turut mempersoalkan pergantungan syarikat itu terhadap satu dokumen berasingan bertarikh September 2023 yang didakwa mengesyorkan pemansuhan jawatan tersebut, sambil menyatakan syarikat gagal menjelaskan percanggahan ketara itu dengan memanggil pegawai Mercer berkaitan sebagai saksi.
Paramalingam juga membuat inferens bertentangan terhadap syarikat berkenaan kerana gagal memanggil Ketua Pegawai Eksekutif Yin Lujiang, yang merupakan penyelia langsung Zalizan — seorang saksi penting dalam menentukan sama ada tugas beliau sudah bertindan.
“Beban pembuktian terletak pada syarikat untuk membuktikan jawatan penuntut dalam syarikat itu telah bertindan,” kata Paramalingam.
Beliau seterusnya menyatakan, Zalizan satu-satunya individu diberhentikan kerja daripada 346 pekerja syarikat itu, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pemecatan itu yang didakwa berpunca daripada pelaksanaan penstrukturan semula.
“Apa yang cukup jelas ialah syarikat menyasarkan penuntut yang dikatakan jawatannya bertindan disebabkan gajinya yang tinggi,” katanya.
Mahkamah mendapati syarikat gagal membuktikan wujudnya situasi jawatan benar-benar bertindan dengan pemberhentian kerja tersebut tidak dilakukan secara suci hati.
Mahkamah menganugerahkan RM58,820 kepada Zalizan sebagai pampasan sebagai ganti pengembalian jawatan serta RM670,548 untuk tunggakan gaji, selain menolak RM144,550 bagi faedah pemberhentian kerja dan gaji sebagai ganti notis yang telah dibayar, menjadikan jumlah anugerah bersih sebanyak RM584,818.
Premjit Singh, Surekaa Santhiran, dan Lee Minli hadir mewakili Zalizan, manakala Tan Ru En mewakili syarikat tersebut.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.