InquirerPower interruption suspends classes in parts of Ilocos Sur on Nov. 17CBC NewsThe National | Carney arrives in China for meeting with XiPunchLagos festival turns bloody as cultists kill twoThe Jerusalem PostEpstein autopsy findings point to possible murder, forensic expert saysZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-Nachrichtenstudio한겨레전두환 비자금 의혹 사건, 서울중수청이 맡는다El Comercio¿Cómo saber si una persona es buscada por la justicia? Así puedes consultar en Lima Digital매일경제동양화의 눈으로 그린 누드…몸이 낯선 풍경이 되다CNN TürkYeni "James Bond" belli olduBBC BusinessNvidia dismisses 'Bring Jensen Back' campaign as Trump backs effort to reinstate ex CEOGIGAZINE脱獄したPlayStation 4で90億パラメーターのAIモデルを毎秒最大43トークンで動作させる「Garlic LLM」が登場New Straits TimesBursa Malaysia opens lower as Nvidia concerns weigh on sentiment
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, November 17, 2026

DAP takut Melaka jadi Kelantan tapi siapa sebenarnya sedang ketakutan?

Translate

Dalam politik, apabila hujah pembangunan semakin kehilangan daya tarikan, ketakutan sering dijadikan senjata terakhir. Itulah gambaran yang boleh dibaca daripada hantaran media rasmi DAP, The Rocket, yang memberi amaran Melaka mungkin menjadi seperti Kelantan sekiranya pengundi berdiam diri.

Persoalannya, apakah menjadi seperti Kelantan itu suatu malapetaka? Atau DAP sebenarnya sedang kehabisan alasan untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka masih relevan?

Saya tidak mengatakan Kelantan sebuah negeri sempurna. Masalah bekalan air, peluang pekerjaan, kemiskinan dan pembangunan ekonomi tetap perlu dipersoalkan. Namun, menjadikan identiti pentadbiran Islam sebagai gambaran ancaman kepada masyarakat bukan Islam merupakan pendekatan politik yang terlalu mudah, malah berbahaya.

Kritiklah kelemahan pentadbiran Kelantan, tetapi jangan jadikan ketakutan terhadap Islam sebagai pengganti kepada hujah politik.

Lebih menarik, DAP sendiri berada dalam kerajaan perpaduan bersama Umno, sebuah parti yang selama puluhan tahun memperjuangkan agenda Melayu dan Islam. Apakah dasar berteraskan Islam hanya dianggap berbahaya apabila dilaksanakan PAS, tetapi boleh diterima apabila dilaksanakan rakan politik sendiri?

Jika demikian, persoalannya bukan lagi mengenai prinsip, tetapi mengenai siapa yang memegang kuasa.

Negara Islam maju, mengapa Kelantan dijadikan momokan?

Lihat sahaja Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Arab Saudi dan Brunei. Negara-negara ini mempunyai identiti Islam yang jelas, dengan tahap peraturan sosial dan industri hiburan yang berbeza-beza.

Dubai membangunkan industri pelancongan antarabangsa tanpa meninggalkan identiti Islamnya. Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 dengan peraturan tertentu mengenai alkohol dan tingkah laku awam. Arab Saudi pula sedang mengembangkan industri pelancongan dan hiburan melalui transformasi ekonominya.

Adakah semua negara ini mundur semata-mata kerana mempunyai peraturan berasaskan nilai Islam? Sudah tentu tidak.

Adakah masyarakat bukan Islam secara automatik tertindas? Juga tidak. Namun, ini bukan bermakna setiap dasar negara tersebut bebas daripada kritikan hak asasi atau isu kebebasan individu.

Kemajuan negara bergantung kepada kecekapan pentadbiran, pendidikan, pelaburan, infrastruktur dan kestabilan dasar, bukannya semata-mata kepada kebebasan industri hiburan.

Jika ukuran kemajuan sesebuah negeri hanyalah sejauh mana hiburan dibenarkan, maka kita sebenarnya sedang merendahkan makna pembangunan itu sendiri.

Sembilan dakwaan tetapi di mana konteksnya?

DAP berhak mengkritik sembilan dasar yang didakwa menyekat kebebasan masyarakat bukan Islam di negeri pentadbiran PAS. Tetapi setiap dakwaan mesti diperiksa berdasarkan peruntukan undang-undang, skop pelaksanaan dan kesan sebenar.

Adakah sekatan itu melibatkan orang Islam sahaja atau turut dikenakan terhadap bukan Islam? Adakah ia melibatkan premis awam, lesen perniagaan atau amalan peribadi? Adakah terdapat bukti penguatkuasaan yang tidak adil?

Perbezaan ini amat penting.

Jika benar terdapat diskriminasi, PAS mesti dipertanggungjawabkan. Tetapi jika peraturan yang terhad kepada konteks tertentu digambarkan seolah-olah seluruh masyarakat bukan Islam kehilangan kebebasan, itu bukan lagi pendidikan politik. Itu manipulasi persepsi.

DAP sepatutnya membentangkan fakta lengkap, bukannya sekadar memilih perkara yang paling mudah mencetuskan keresahan.

Mengapa Melaka perlu takut kepada Kelantan?

Melaka mempunyai sejarah, struktur ekonomi, komposisi masyarakat dan budaya politik tersendiri. Kelantan juga demikian.

Tidak ada asas kukuh untuk menganggap perubahan kerajaan secara automatik akan menyebabkan semua dasar sebuah negeri disalin bulat-bulat ke negeri lain.

Tambahan pula, Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan, pembahagian kuasa perundangan dan perlindungan kebebasan beragama. Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa tanpa batas.

Maka, menggambarkan Melaka seolah-olah akan berubah menjadi Kelantan dalam sekelip mata lebih menyerupai imaginasi kempen daripada analisis dasar yang serius.

DAP sedang melawan PAS atau melawan kebimbangan sendiri?

Saya melihat kemunculan naratif ini pada saat akhir sebagai kemungkinan petunjuk bahawa DAP bimbang terhadap tahap mobilisasi pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi yang mungkin kurang bermotivasi untuk keluar mengundi.

Apabila keyakinan terhadap sokongan sendiri tidak lagi boleh dianggap terjamin, kempen ketakutan menjadi jalan pintas untuk membangkitkan semangat penyokong.

Namun, strategi ini mempunyai risiko besar.

DAP mungkin berjaya menakutkan sebahagian pengundi, tetapi pada masa sama boleh mengukuhkan persepsi bahawa parti itu lebih selesa menyerang identiti politik lawan daripada menjawab persoalan prestasi sendiri.

Lebih ironis, serangan sedemikian mungkin membantu PAS menyatukan penyokongnya.

Akhirnya, DAP perlu memahami bahawa pengundi bukan Melayu juga semakin matang. Mereka mahu peluang ekonomi, pendidikan berkualiti, keselamatan, kos sara hidup terkawal dan pentadbiran yang adil. Mereka tidak semestinya mahu terus diperingatkan tentang siapa yang patut ditakuti.

DAP mungkin takut Melaka menjadi Kelantan. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah, adakah DAP sendiri takut kehilangan keyakinan pengundi yang selama ini dianggap miliknya?

Politik matang sepatutnya menawarkan masa depan yang lebih baik, bukan menjual ketakutan terhadap masa depan yang belum tentu berlaku.

Kerana parti yang benar-benar yakin dengan pencapaiannya akan menjual harapan. Parti yang mula meragui kekuatannya pula cenderung menjual ketakutan.

Penulis ialah penganalisis di Global Asia Consulting.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.