Kastam gagalkan cubaan seludup dadah RM2.87 juta di KLIA

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine berjumlah kira-kira RM2.87 juta menerusi operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas, KLIA pada 4 dan 14 Nov lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Aspalila Ag Tuah, berkata kes pertama melibatkan rampasan 15,456 unit katrij vape mengandungi 30.91 liter dadah cecair disyaki jenis methamphetamine bernilai lebih RM1.54 juta, pada 14 Nov.
“Siasatan awal mendapati katrij-katrij vape tersebut dibawa masuk dari Kuching, Sarawak menggunakan Borang Kastam No 3 dan semua katrij vape kemudiannya disita untuk siasatan serta pemeriksaan lanjut.
“Dadah itu cuba dibawa masuk menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo dan diubah dalam bentuk cecair bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi kes kedua, Aspalila berkata pihaknya merampas dua bungkusan kotak disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine membabitkan satu daripada Pengendali Terminal Kargo, Zon Perdagangan Bebas, KLIA pada 11.10 malam, 4 Nov.
Beliau berkata, kedua-dua bungkusan itu dipercayai hendak dieksport ke sebuah negara Oceania.
“Hasil pemeriksaan rapi menemukan 26 ketulan kristal mampat iaitu dadah jenis methamphetamine yang dibaluti bungkusan plastik bertulis Refined Chinese Tea.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah sebanyak 26.55 kilogram bernilai RM1.327 juta,” katanya.
Beliau berkata bagi kes berkenaan dadah cuba dibawa keluar menggunakan perkhidmatan bungkusan dan disembunyikan di dalam plastik teh bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
Aspalila berkata, kes masih dalam siasatan dan syarikat pengendali penghantaran telah dipanggil untuk membantu siasatan.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.