ESPNOhtani 'considerably' healthier, expected back in Dodgers' lineup WednesdayThe Jerusalem PostChina's US ambassador warns about 'red lines' ahead of Trump, Xi meetingESPN DeportesWNBA: ¿Quién puede detener a Kelsey Mitchell y Caitlin Clark?InquirerCalapan City launches citizen registry projectUOLLíder opositora é impedida de retornar à VenezuelaThe Hollywood ReporterFormer Miramax Exec Munika Lay Teams With Indie Producer Toni Wang to Launch Luna MediaRapplerAuditors flag gaps, missing docs in OVP’s P168-M disaster aidRMF24Stygmaty, śledztwa i cuda. Kim naprawdę był Ojciec Pio?CNN BrasilTRE-RJ libera candidatura de Rueda por unanimidade3DNewsВ Китае доля угольной энергетики впервые опустилась ниже 50 % по итогам первого полугодияMalay MailUpgraded Asean trade deal brought forward to end-2026, says Singapore DPMسكاي نيوز عربيةالرئيس الإيراني يصل إلى نيويورك
The Daily Newsstand · Free, Always
Wednesday, September 23, 2026

Pusingan-U MB berhubung ‘penurunan takhta’ Tuanku Muhriz mungkin jadi penentu, kata peguam

Translate

Perubahan pendirian Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, berhubung satu proklamasi yang dipertikaikan mungkin menjadi isu utama sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah, menurut seorang peguam yang mengatakan ia boleh menjejaskan kesahihan penurunan takhta Yang Dipertuan Besar.

Rosli Dahlan berkata Ismail pada 9 Sept mendakwa beliau menandatangani proklamasi yang menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta itu “tanpa rela hati dan secara paksaan”.

Pada ketika itu, Ismail berkata dokumen berkenaan tidak mematuhi Perkara 10 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), oleh itu “tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan”.

Bagaimanapun, pada 17 Sept, Ismail mengumumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebulat suara mengesahkan proklamasi tersebut, mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz dan mengarahkan setiausaha kerajaan negeri mewartakannya.

Rosli berkata pendirian bercanggah menteri besar itu mungkin penting sekiranya perkara tersebut dibawa ke mahkamah.

“Perubahan pendirian berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz, ditambah dengan laporan polis terdahulu yang mendakwa beliau dipaksa menandatangani proklamasi itu, perlu dinilai oleh mahkamah apabila mempertimbangkan kredibilitinya sebagai saksi,” katanya.

Rosli turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri boleh menghidupkan kembali proklamasi yang tidak sah ketika dibuat.

“Jika proklamasi itu cacat, tidak sah dan tidak mempunyai kesan, bolehkah menteri besar atau exco mengesahkannya?” soalnya.

Peguam itu turut menyoal sama ada menteri besar dan exco boleh menjalankan kuasa dengan sewajarnya, memandangkan pelantikan mereka dibuat oleh Tuanku Muhriz, yang kesahihannya sebagai pemerintah sedang mereka pertikaikan.

“Jika pelantikan menteri besar dan exco sendiri terkesan akibat perubahan pada jawatan Yang Dipertuan Besar seperti didakwa, bolehkah mereka kemudian bergantung pada autoriti sendiri untuk mengesahkan proklamasi itu?” soalnya.

Garis masa krisis

Krisis perlembagaan tercetus pada 19 April apabila Mubarak Dohak, yang mendakwa dirinya Undang Sungei Ujong, membacakan suatu proklamasi yang dikatakan ditandatangani oleh empat Undang, yang menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta.

Sehari kemudian, menteri besar ketika itu, Aminuddin Harun, menolak proklamasi tersebut kerana tidak selaras dengan UUTKNS.

Pada Ogos, susulan PRN Negeri Sembilan, Ismail mengangkat sumpah sebagai menteri besar di hadapan Tuanku Muhriz, yang turut melantik 10 anggota exco untuk memegang jawatan ‘selagi diperkenan Yang Dipertuan Besar’, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 38(5) UUTKNS.

Pada 9 Sept, Ismail menafikan proklamasi 19 April itu tetapi mengubah pendirian lapan hari kemudian dan mengesahkannya.

Kesahihan Mubarak, pelantikan Undang baharu

Salah satu pertikaian utama yang timbul pada April ialah sama ada Mubarak berhak menandatangani proklamasi tersebut. Menurut Dewan Keadilan dan Undang (DKU), beliau telah dilucutkan daripada jawatan dua hari sebelumnya.

“Jika Mubarak bukan lagi Undang yang sah pada 17 April, mungkin tiada kuorum yang sewajarnya untuk mesyuarat pada 19 April,” kata Rosli.

Beliau berkata Perkara 16(3) UUTKS memperuntukkan bahawa nasihat DKU mengenai perkara dalam bidang kuasanya — termasuk pemilihan, pelantikan dan pemecatan jawatan Undang — adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Rosli berkata pelantikan Undang baharu selepas itu turut menimbulkan persoalan mengenai kesahihan proklamasi tersebut.

“Apabila menteri besar dan exco mengesahkan proklamasi itu pada 17 Sept, Undang Sungai Ujong dan Rembau bukan lagi orang yang sama.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada MB dan exco semasa boleh membuat pengesahan secara retrospektif,” katanya.

Menurut Rosli, tindakan undang-undang secara amnya berkuat kuasa secara prospektif, bukan retrospektif.

“Andainya pengesahan itu berkuat kuasa secara prospektif dan hanya berkuat kuasa pada 17 Sept, proklamasi penyingkiran itu sekali lagi boleh dicabar kerana Undang Sungai Ujong dan Rembau semasa telah menolaknya,” jelasnya.

AGC tampil beri pandangan

Minggu lalu Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan bahawa proklamasi 19 April adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak-kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS.

AGC berkata tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada Tuanku Muhriz. AGC turut mengesahkan bahawa pemecatan jawatan Undang terletak dalam bidang kuasa DKU.

Selaras dengan pendirian AGC, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan ia tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi 19 April itu.

Rosli berkata mahkamah mungkin perlu menentukan kesan perlembagaan daripada pendirian-pendirian berbeza ini, termasuk status proklamasi 19 April serta sebarang pelantikan dan keputusan selepas itu yang dibuat berasaskan proklamasi tersebut.

Proses wajar

Proklamasi 19 April itu turut menimbulkan persoalan perlembagaan mengenai sama ada proses mandatori telah dipatuhi, kata peguam berkenaan.

“Mesti ada siasatan sewajarnya. Peluang mesti diberikan kepada Tuanku Muhriz untuk menjawab sebarang pertuduhan.”

Rosli berkata tiada bukti bahawa proses perlembagaan telah dipatuhi dengan sewajarnya sebelum proklamasi 19 April itu dibuat.

Beliau berkata pertikaian yang masih belum diselesaikan itu boleh membawa implikasi besar ke atas pentadbiran negeri sekiranya persoalan perlembagaan berkenaan terus tidak diselesaikan.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.