Sarawak tak berhasrat ambil alih peranan Petronas, kata Fadillah

Sarawak tidak berhasrat mengambil alih keseluruhan peranan dan fungsi Petronas di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Beliau berkata ada salah faham, khususnya dalam kalangan masyarakat di Semenanjung, yang menganggap Sarawak mahu mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab syarikat minyak negara itu.
“Sebenarnya, isu ini bukan mengenai Sarawak mahu mengambil alih peranan Petronas, tetapi bagaimana kita boleh bekerjasama,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Fadillah berkata matlamat utama adalah menyelaraskan hubungan antara Petronas dan Sarawak dengan mengambil kira Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negeri.
Beliau mengakui Petronas memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan ekonomi, namun hak Sarawak juga perlu diiktiraf.
Menurutnya, Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sedang berusaha mencapai penyelesaian secara komersial, selepas kedua-duanya secara umumnya bersetuju mengenai pembahagian tanggungjawab.
Katanya, Petronas akan mengendalikan operasi di luar pesisir, manakala Petros bertanggungjawab terhadap operasi di darat.
“Tetapi bagaimana pula dengan kawasan peralihan antara kedua-duanya, iaitu apabila gas dari luar pesisir tiba di darat? Siapa yang akan bertanggungjawab?
“Itulah perkara yang sedang mereka rundingkan sekarang,” katanya.
Fadillah, yang mempengerusikan pasukan petugas bagi menangani isu berkenaan, berkata kebanyakan perkara sudah diselesaikan dan hanya syarat komersial yang perlu dimuktamadkan.
“Jika mereka gagal mencapai persetujuan, keputusan akhir akan dibuat oleh perdana menteri dan premier Sarawak. Kita berharap perkara ini tidak perlu dibawa ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata isu berkaitan komitmen membekalkan gas dalam jumlah yang diperlukan Sarawak bagi pembangunan industri hiliran juga sebahagian besarnya sudah diselesaikan.
Pada masa sama, Fadillah menekankan kepentingan memberi keyakinan kepada pelabur bahawa kepentingan mereka tidak akan terjejas dan pelaburan dalam sektor minyak dan gas terus dialu-alukan.
Beliau berkata kejayaan Petros juga akan memberi manfaat kepada negara, namun Petronas perlu terus kukuh.
“Pada masa sama, kita juga memerlukan Petronas yang kuat,” katanya.
Fadillah berkata Sarawak turut mempunyai kepentingan dalam industri gas asli cecair (LNG) dan aktiviti lain Petronas, serta mahu syarikat minyak negara itu terus melabur di negeri berkenaan.
Sebelum ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg berharap pertikaian antara Petronas dan Petros dapat diselesaikan di luar mahkamah sebelum akhir tahun ini.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa teknikal bebas sedang meneliti pendirian yang dikemukakan oleh kedua-dua syarikat itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.