ESPN DeportesBears dominan a Eagles en ChicagoThe Jerusalem PostNew film reveals previously undisclosed details of Mossad's Hezbollah pager operationInquirerNBI: Velasco, wife currently out of the country한겨레산모 배처럼 부푼 따스한 벽…우순옥의 개념미술을 추억하다UOLJato que derrubou avião da Gol em 2006 continua voando por empresa mexicanaالنهارسيمون كرم في الفاتيكان: قناة ضغط جديدة لإنقاذ مسار التفاوض؟SBS 뉴스장동혁 "김정은, '패가망신' 시켜야 하지 않는가?"CBS NewsSenate approves sweeping bill to regulate college sportsالشرقبوتين يقر زيادة قوام الجيش الروسي.. وموسكو ترفع الإنفاق العسكري 27%Malay MailHazy conditions descend on Malaysia again as 31 areas hit ‘Unhealthy’ APISportstarAsian Games 2026: India women’s trap shooting team clinches silver, Neeru qualifies for finalEl Comercio¿Trump le preguntó a Xi Jinping si China quería comprar armas de EE.UU.? Lo que hay detrás de la polémica
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, September 29, 2026

Sentuhan keibuan Hasmah buat badminton Malaysia

Translate

Pada malam kemuncak Piala Thomas 1992, terbit satu detik apabila tiada lagi yang terdaya dilakukan Dr Hasmah Ali melainkan berdoa.

Selama 25 tahun, Malaysia mendambakan piala berprestij itu. Kini, hanya satu pertarungan penentuan beregu yang memisahkan negara daripada impian tersebut.

Di gelanggang, bahu Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang memikul beban harapan yang cukup berat ketika berdepan musuh tradisi dari Indonesia, Ricky Subagja dan Rexy Mainaky.

Di celah sorakan penonton, susuk Hasmah yang anggun berbaju kurung merah putih kelihatan menadah tangan memohon keajaiban.

Namun, rakaman sejarah itu tidak menyingkap rahsia apa yang dilakukannya sebelum kedua-dua wira negara itu turun berjuang.

Beliau tahu jiwa Soon Kit dan Beng Kiang sedang bergolak dan tidak sehaluan.

Lalu, beliau berbicara dari hati ke hati dengan mereka, secara berasingan.

Beliau meyakinkan Soon Kit bahawa tiada rakan seperjuangan yang lebih hebat daripada Beng Kiang, dan pesanan yang sama turut dibisikkan kepada Beng Kiang.

Berbekalkan kata-kata itu, mereka turun bertarung sebagai satu jiwa hingga menoktahkan kemenangan 15-12, 10-15, 15-8, membolehkan Malaysia menundukkan Indonesia 3-2 untuk menjulang Piala Thomas buat kali kelima.

Hasmah menghembuskan nafas terakhir semalam pada usia 100 tahun. Lebih 20 tahun menjadi penaung BAM, warisan yang ditinggalkannya dalam lembaran badminton negara melangkaui sekadar gelaran rasmi.

Cheah Soon Kit and Soo Beng Kiang celebrate

Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang rai kejayaan sumbang mata kemenangan penentuan buat Malaysia ketika menentang Indonesia pada final Piala Thomas 1992. (Gambar Facebook)

Ertinya terpancar melalui ikatan jiwa yang dibina bersama pemain negara. Baginya, amanah terbesar seorang penaung adalah memastikan mereka sentiasa berfungsi sebagai satu pasukan.

“Saya tidak pernah campuri urusan teknikal permainan. Itu urusan jurulatih,” katanya bertahun-tahun selepas itu.

Ketika lembaran nostalgia 1992 dibuka semula sewaktu pelancaran Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah pada 2019, kenangan lalu ternyata masih meruntun jiwa hingga menumpahkan air matanya.

“Saya mudah sebak dan berlinang air mata setiap kali imbau tahun (1992), ketika kali terakhir kita menangi Piala Thomas,” katanya.

“Detik itu tidak mungkin saya lupakan kerana pemain-pemain ini umpama anak-anak saya sendiri, dan mereka menatap saya sebagai ibu.”

Dr Hasmah Ali with Malaysia’s badminton legends, including Rashid Sidek

Dr Hasmah Ali bersama barisan legenda badminton negara, termasuk Rashid Sidek (kanan), pada majlis pelancaran Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah pada 2019. (Gambar Facebook)

Di situlah tersingkapnya rahsia di sebalik campur tangan beliau mendamaikan Soon Kit dan Beng Kiang.

“Dan selayaknya seorang ibu, sudah jadi kewajipan saya merapatkan kembali hati mereka.”

Wira-wira yang pernah mengharumkan nama negara itu kini sudah lanjut usia dan berambut putih, namun getar perasaan antara mereka tidak pernah luntur.

Pada Hasmah, mereka bukan sekadar jaguh yang menobatkan Malaysia di persada dunia, sebaliknya anak-anak muda yang pernah diasuh dan disaksikan membesar di depan matanya.

Kasih seorang ibu itu tidak bertepuk sebelah tangan.

Ketika bekas jaguh negara itu diajak mengimbau erti susuk Hasmah sepanjang mewakili Malaysia, masing-masing meluahkan rasa yang hampir senada.

“Umpama seorang ibu.” “Menenangkan jiwa.” “Cukup berhemah.” “Sangat menawan.”

Mereka tidak dapat melupakan aura kehadirannya yang sentiasa menyuntik kekuatan, bermula dari gelanggang latihan hinggalah ke detik mendebarkan pada hari pertarungan. Kata-kata pembakar semangat daripadanya membuatkan mereka rasa disayangi dan didorong, malah mereka yakin titipan azimat itu memainkan peranan penting dalam kejayaan mereka.

Buat Soon Kit dan Beng Kiang, pesanan yang dititipkan sebelum perlawanan akhir pada 1992 itu terus bergema dalam jiwa apabila menjejakkan kaki ke gelanggang.

Ada kalanya, menjelang pertarungan terbesar dalam hidup seorang atlet, apa yang diperlukannya hanyalah peringatan bahawa rakan di sebelahnya bukan musuh, sebaliknya rakan seperjuangan yang perlu dipercayainya.

Dr Hasmah Ali visits Japanese badminton star Kento Momota-

Dr Hasmah Ali ziarahi bintang badminton Jepun, Kento Momota, di Hospital Putrajaya pada Januari 2020 selepas pemain itu cedera dalam nahas jalan raya sejurus menjuarai Malaysia Masters. (Gambar Kento Momota)

Lebih dua dekad Hasmah menabur bakti sebagai penaung BAM sebelum mengundurkan diri pada 2007.

Minatnya terhadap sukan badminton tidak terhad kepada skuad elit semata-mata. Menerusi Bakti, beliau menyokong usaha menyuburkan bakat tunas muda, mencipta peluang agar legasi sukan ini terus mekar dalam kalangan generasi seterusnya.

Namun, barisan pemain kebangsaan tetap menempati sudut paling istimewa dalam ingatannya.

Beliau mengingati saat suka duka mereka, kejayaan mahupun kekecewaan, dan paling utama, ikatan persaudaraan yang mengikat keutuhan sesebuah pasukan.

Kejayaan 1992 itu turut menjadi detik bersejarah buat badminton Malaysia di pentas Olimpik, apabila Rashid Sidek merangkul pingat gangsa ketika sukan itu buat julung kali dipertandingkan di Barcelona.

Namun bagi Hasmah, kejayaan Piala Thomas kekal amat dekat di sudut hatinya.

Beliau menatap sendiri para pemain memikul beban impian negara ke gelanggang akhir. Beliau juga amat mengerti bahawa kilauan pingat dan julangan piala pada hakikatnya dimenangi oleh insan-insan yang saling mempercayai antara satu sama lain.

Keprihatinan beliau terhadap sukan badminton tidak pernah bernoktah walaupun ikatan rasminya bersama BAM telah berakhir.

Pada 13 Jan 2020, beliau meluangkan masa menziarahi jaguh nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota, di Hospital Putrajaya selepas atlet itu terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa jam selepas menjuarai Malaysia Masters.

Pada waktu itu, Hasmah bukan lagi penaung BAM. Tiada protokol mahupun tuntutan rasmi untuk beliau berbuat demikian, namun beliau tetap hadir.

Tindakan itu selari dengan tanggapan para pemain terhadap dirinya; bukan sebagai susuk berkuasa, sebaliknya insan yang cukup prihatin untuk sentiasa hadir.

Barangkali kerana itulah, walaupun khidmatnya di BAM telah lama berlalu, bekas-bekas jaguh negara tidak pernah kekok meluahkan makna sebenar seorang Hasmah di mata mereka.

Mereka tidak mula bercerita tentang trofi, deretan kejohanan, atau kedudukannya sebagai penaung.

Sebaliknya, yang terluah adalah bagaimana beliau menyentuh hati dan perasaan mereka.

Ibarat seorang ibu.

Dan buat segenap generasi jaguh tangkis negara yang mengenalinya sedemikian rupa, panggilan keramat itu ebih daripada mencukupi.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.