773 kes buli murid di Johor hingga September

Sebanyak 773 kes buli murid direkodkan di Johor bagi tempoh Januari hingga September 2026 melibatkan 208 murid di 165 sekolah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Dr Muhammad Naqib Md Ghazali pada persidangan DUN, hari ini.
Katanya, berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) setakat 30 Sept lalu pecahan bulanan merekodkan 87 kes pada Januari diikuti 80 (Februari), 91 (Mac), 179 (April), 77 (Mei), 84 (Jun), 93 (Julai), 56 (Ogos) dan 26 pada September.
Rekod buli murid di negeri ini turut mencatatkan 984 kes pada 2023, 1,080 kes pada 2024 dan 327 kes pada 2025, manakala di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) sebanyak 6,528 kes direkodkan pada 2023 dan 7,681 kes pada 2024, lapor Bernama.
Menurut data dibentangkan pada persidangan itu, angka 327 pada 2025 bukan bukti kes buli menurun, sebaliknya peningkatan rekod pada 2026 mencerminkan pelaporan lebih menyeluruh serta kesedaran yang meningkat untuk membuat laporan.
“Kerajaan Negeri Johor mengambil serius perkara ini. Justeru, berkaitan business as usual tidak lagi memadai. Perlu ada satu tindakan yang luar biasa untuk memastikan isu keselamatan ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Beliau menjawab soalan berhubung statistik dan kes buli di Johor dibangkitkan Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan), Selamat Takim (BN-Sungai Balang) dan Chu Poh Yee (PH-Mengkibol).
Naqib berkata, berdasarkan hasil kajian akademia, isu keselamatan di sekolah melibatkan tiga faktor utama iaitu substans (dadah atau bahan terlarang), buli dan mental illness.
“Dan ketiga-tiga perkara ini perlu dilihat secara serentak bagi memastikan isu keselamatan sekolah ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Di peringkat negeri, kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah digerakkan melalui Kempen Sekolah Selamat Negeri Johor, J-Safe, Karakter Murid Johor (KrMJ) serta Focus Group Discussion (FGD) rentas agensi.
Katanya, langkah selari pendekatan student voice, prosedur operasi standard (SOP) 1:3:7, Akta Anti-Buli 2026 (Akta 876) serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di peringkat persekutuan, selain seruan kepada Adun menyalurkan maklumat terus bagi mempercepat tindakan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.