Tunggakan ansuran cukai CP500 tak sekat perjalanan ke luar negara

Kegagalan pembayar cukai menjelaskan ansuran cukai di bawah notis bayaran ansuran (CP500) tidak menyebabkan mereka dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara kerana bayaran itu bukan taksiran cukai muktamad, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Beliau berkata, sekatan perjalanan hanya boleh dikenakan selepas pembayar cukai mengemukakan borang nyata cukai pendapatan (BNCP), yang membolehkan jumlah liabiliti cukai sebenar ditentukan.
“Berdasarkan BNCP dikemukakan, jumlah cukai sebenar akan dihitung semula dengan menolak bayaran ansuran CP500 yang telah dibuat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhak menyekat perjalanan ke luar negara kerana tunggakan CP500, termasuk asas perundangan dan jumlah individu yang dikenakan sekatan itu.
Liew berkata, jika masih ada baki cukai perlu dibayar selepas pengiraan dibuat berdasarkan BNCP dan pembayar cukai gagal menjelaskannya dalam tempoh ditetapkan, baki itu akan diklasifikasikan tunggakan cukai.
“Oleh itu, bagi mengelakkan urusan ke luar negara terganggu disebabkan kesalahan tidak membayar tunggakan cukai kepada kerajaan, LHDN melalui pelbagai platform sentiasa menasihati pembayar cukai menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan terlebih dahulu, sebelum merancang perjalanan ke luar negara.”
Semakan status tunggakan cukai atau sekatan perjalanan boleh dibuat menerusi portal MyTax atau laman web Jabatan Imigresen.
Menjawab soalan tambahan Chow mengenai justifikasi menyekat perjalanan individu yang jumlah liabiliti cukainya belum dimuktamadkan, Liew berkata, tindakan itu lazimnya diambil selepas enam bulan jika tunggakan cukai belum dijelaskan dan tiada maklum balas daripada pembayar cukai.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.