ESPN DeportesEN VIVO: México pierde ante USA con error de Tala RangelESPNFollow live: Julian Hall scores to give USMNT lead over MexicoInquirerNDF seeks Red Cross intervention for wounded, pregnant rebel leaderThe Jerusalem PostDefense Ministry: 1,318 Israeli security personnel killed across all fronts since October 7UOLEleição tem 158 milhões aptos a votar com disputa acirrada entre Lula e Flávio BolsonaroZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFNew Straits TimesMurdered Yong Peng student dreamed of becoming doctor like late motherSRF NewsHunderte Millionen Verlust – Swiss Steel nimmt Stellenabbau in Deutschland vorEl ComercioLa Kábala, sábado 3 de octubre: Conoce los resultados del sorteo con un pozo de S/ 1′123,767n-tv"Situation nicht unterschätzt": Reiche wehrt sich gegen Vorwürfe wegen zusätzlicher GaseinkäufeBBC NewsBurnham scraps controversial plans to curb jury trials경향신문외국인의 ‘이머전시 레디’ 앱 사용 극히 저조···“재난정보 전달 실효성 낮아”
The Daily Newsstand · Free, Always
Sunday, October 4, 2026

Di bandar Rusia yang hidup bersama loji nuklear

Translate

Tidak banyak yang kelihatan luar biasa di bandar kecil Rusia ini, kira-kira 200km di barat laut Moscow.

Orang ramai memancing di tasik. Rumah kecil dan kebun memenuhi tebingnya. Kanak-kanak pergi ke sekolah, penduduk keluar bekerja dan pada musim panas, mereka berenang di tasik.

Namun, apabila memandang ke kejauhan, dua menara penyejuk gergasi tersergam di kaki langit.

Udomlya menempatkan Loji Kuasa Nuklear Kalinin, sebuah kompleks dengan empat reaktor yang bukan sahaja mendominasi pemandangan bandar ini, malah memainkan peranan besar dalam ekonominya.

Selepas menghabiskan beberapa hari di sini, perkara yang paling menarik perhatian saya bukan bagaimana kehidupan penduduk berubah kerana kewujudan loji nuklear.

Sebaliknya, betapa biasa semuanya kelihatan.

kids playing plaground udomlya

Taman permainan antara kemudahan yang mudah ditemui di Udomlya, sebuah bandar yang kehidupan hariannya berkembang seiring dengan operasi loji nuklear berhampiran.

kids walking in park udomlya

Kanak-kanak berjalan di sebuah taman di Udomlya, mencerminkan kehidupan seharian yang kelihatan biasa walaupun loji nuklear terletak hanya beberapa kilometer dari bandar itu.

Loji itu menggunakan dua tasik di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada sistem penyejukannya, termasuk Tasik Udomlya.

cooling towers russia

Dua menara penyejuk gergasi Loji Kuasa Nuklear Kalinin menjadi sebahagian daripada pemandangan Udomlya.

Ketika melalui kawasan tasik dalam lawatan ke loji itu, seorang kakitangan Kalinin menunjuk ke arah rumah-rumah kecil di sepanjang tebing.

green neighbourhood

Kawasan perumahan yang menghijau dan teratur menjadi pemandangan biasa di Udomlya.

“Penduduk ada kebun mereka sendiri. Mereka menanam sayur dan buah-buahan, dan datang ke situ pada hujung minggu,” katanya.

“Mereka berenang di tasik dan menggunakan air tasik untuk menyiram tanaman.”

Menurutnya, air tasik dipantau ketat bagi mengesan radionuklid, perubahan suhu dan beberapa petunjuk lain.

Keselamatan jadi sebahagian kehidupan harian

Tinggal bersebelahan loji kuasa nuklear sememangnya menimbulkan persoalan mengenai keselamatan.

Di Kalinin, pegawai berkata perkara itu ditangani melalui pemantauan berterusan selain memastikan maklumat berkaitan boleh diakses penduduk.

Seorang wakil loji berkata ada zon perlindungan sanitasi mengelilingi kemudahan berkenaan, manakala kawasan lebih luas di sekitarnya turut berada dalam zon pemantauan.

“Pemantauan tahap radiasi dijalankan secara berterusan dalam zon ini,” katanya sambil menjelaskan pemeriksaan turut meliputi alam sekitar dan kawasan berpenduduk.

Bacaan dilakukan secara manual serta menggunakan sistem automatik yang memantau kadar dos radiasi di sekitar loji.

Lebih penting, penduduk sendiri boleh melihat hasil pemantauan itu.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai paras radiasi semasa.”

“Kami mempunyai papan paparan seperti ini di bandar supaya penduduk boleh memantaunya sendiri,” katanya.

Maklumat sama turut tersedia dalam talian.

“Setiap penduduk, setiap orang boleh melihat keadaan semasa,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan mengenai tahap keselamatan itu adalah berdasarkan maklumat pengendali loji. Lawatan singkat yang diatur pihak terbabit tidak memungkinkan penilaian bebas terhadap rekod keselamatan atau kesan alam sekitar kemudahan nuklear itu dalam jangka panjang.

Namun, keterbukaan dalam menyediakan maklumat pemantauan kepada orang ramai tetap menarik perhatian.

Industri nuklear sediakan satu daripada empat pekerjaan

Hubungan antara Udomlya dengan loji itu jauh melangkaui faktor lokasi.

Pegawai Kalinin berkata loji berkenaan bersama organisasi berkaitannya menyediakan kira-kira 6,000 pekerjaan, bersamaan sekitar 25% penduduk dalam usia bekerja di daerah perbandaran itu.

Loji itu turut bekerjasama dengan sekolah, kolej dan universiti bagi membangunkan tenaga kerja masa depan.

Seorang penyelia syif muda yang ditemui ketika lawatan berkata beliau mula bekerja di Kalinin pada 2018 selepas menamatkan pengajian di Universiti Politeknik Tomsk di Siberia.

Dalam tempoh lapan tahun, beliau melalui beberapa jawatan dalam operasi turbin sebelum dinaikkan sebagai penyelia syif.

Di luar pekerjaan, beliau bercerita mengenai kehidupan biasa di Udomlya, termasuk kemudahan sukan, taman, jalan yang dibaiki dan konsert.

Ia sekali lagi menunjukkan betapa rapatnya hubungan antara loji itu dengan bandar berkenaan.

Memancing berlatar menara penyejuk

Mungkin gambaran paling luar biasa mengenai hubungan itu dapat dilihat di Tasik Udomlya sendiri.

Pasukan dari Hungary, Mesir, Turki, Rusia, Bangladesh, Vietnam, Indonesia, Afrika Selatan, Uzbekistan, India dan Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan memancing dengan menara penyejuk loji nuklear jelas kelihatan di kejauhan.

fishing tournament

Pasukan dari Hungary, Mesir, Turki, Rusia, Bangladesh, Vietnam, Indonesia, Afrika Selatan, Uzbekistan, India dan Malaysia menyertai pertandingan memancing di Tasik Udomlya, antara acara menarik sepanjang lawatan.

Peserta memancing beberapa spesies ikan termasuk pike, zander, perch dan channel catfish, sebelum setiap tangkapan diukur, direkodkan dan dilepaskan semula ke tasik.

Malaysia muncul pemenang diikuti Rusia dan Hungary.

Namun kemenangan Malaysia mempunyai cerita tersendiri.

Hampir semua negara menghantar pemancing berpengalaman. Malaysia tidak.

Pasukan Malaysia terdiri daripada seorang yang berkelulusan perakaunan dan kini bekerja dalam bidang media, serta Fairus Farid, seorang jurutera nuklear dari Agensi Nuklear Malaysia.

Kami berdua bukan pemancing, tetapi entah bagaimana berjaya muncul pemenang.

winners fishing tournament

Jurutera nuklear Fairus Farid dan penulis muncul pemenang pertandingan memancing walaupun kedua-duanya bukan pemancing berpengalaman.

Ia menjadi kisah sampingan yang menyeronokkan dalam acara yang turut membawa mesej lebih serius mengenai alam sekitar.

Pegawai loji berkata pemantauan selama bertahun-tahun menunjukkan kesan operasi Kalinin terhadap kawasan sekitarnya adalah minimum, dengan seorang wakil alam sekitar menjadikan pertandingan memancing itu sebagai contoh yang dapat dilihat sendiri pengunjung.

Sudah tentu, pertandingan memancing bukan kajian alam sekitar.

Kewujudan ikan juga tidak boleh dengan sendirinya membuktikan kesan ekologi operasi nuklear yang berlangsung selama beberapa dekad.

Namun bagi orang luar, pengalaman melontar umpan ke tasik dengan menara penyejuk nuklear di kaki langit terasa agak luar biasa.

writers caught fish

Fairus Farid (kanan) dan penulis masing-masing berjaya menaikkan ikan zander ketika pertandingan memancing di Tasik Udomlya.

Bagi penduduk Udomlya, ia hanyalah sebahagian daripada kehidupan.

Sebuah alat pengesan radiasi mudah alih yang diletakkan bersebelahan seekor ikan menunjukkan bacaan 44 nanosievert sejam, iaitu paras yang sangat rendah.

radiation level

Bacaan menggunakan alat pengesan radiasi mudah alih menunjukkan paras radiasi yang sangat rendah di Udomlya walaupun loji nuklear terletak berhampiran.

Sebagai perbandingan, radiasi semula jadi sentiasa wujud di sekeliling kita, termasuk daripada tanah, batu dan juga bangunan tempat kita tinggal.

Kajian di Kuala Lumpur pernah merekodkan radiasi latar semula jadi pada angka yang jauh lebih tinggi.

Namun, bacaan itu menggunakan unit ukuran berbeza dan tidak boleh dibandingkan secara langsung.

Pokoknya mudah: radiasi bukan sesuatu yang hanya wujud berhampiran loji nuklear. Manusia terdedah kepada sejumlah kecil radiasi semula jadi setiap hari.

Perbincangan nuklear yang berbeza

Ini lawatan kedua saya ke Rusia dan pengalaman kali ini menguatkan sesuatu yang saya mula perhatikan ketika menghadiri World Atomic Week di Moscow tahun lalu.

Persoalan yang ditanya sesebuah negara mengenai tenaga nuklear sangat berbeza bergantung kepada sejauh mana negara itu sudah bergerak dalam pembangunan sektor berkenaan.

Ketika itu, saya mendapati persoalan sama ada tenaga nuklear selamat atau tidak kebanyakannya datang daripada delegasi Asia Tenggara.

Delegasi dari negara yang lebih maju dalam sektor nuklear pula lebih banyak bertanya mengenai teknologi, pembiayaan, pembinaan dan generasi baharu tenaga nuklear.

Ini tidak bermakna kebimbangan mengenai keselamatan sudah lenyap.

Chernobyl dan Fukushima kekal sebagai peringatan mengenai akibat yang boleh berlaku apabila sistem nuklear gagal, manakala isu sisa radioaktif, kos dan kesiapsiagaan kecemasan masih merupakan perkara yang wajar dibincangkan.

Namun, banyak negara sudah beralih daripada persoalan sama ada risiko nuklear boleh dikawal kepada bagaimana kemudahan nuklear perlu dibangunkan.

Bangladesh sudah membangunkan loji kuasa nuklear pertamanya di Rooppur.

Mesir pula membina empat reaktor di El Dabaa, manakala Vietnam menghidupkan semula program nuklearnya dan meneruskan projek Ninh Thuan 1.

Malaysia mula bergerak ke arah nuklear

Malaysia juga semakin memasuki perbincangan itu.

Putrajaya melantik MyPower Corporation sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear bagi menyediakan asas dasar, kawal selia dan teknikal untuk pembangunan tenaga nuklear.

Keperluan terhadap keselamatan tenaga semakin mendapat perhatian susulan krisis di Timur Tengah dan gangguan sekitar Selat Hormuz yang mendedahkan betapa mudahnya bekalan bahan api global terjejas.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata keadaan itu mengukuhkan alasan untuk Malaysia meneroka tenaga nuklear sebagai sumber elektrik yang stabil dan rendah karbon.

Sokongan terhadap tenaga nuklear juga merentasi garis politik.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tenaga nuklear sebagai satu “keperluan makroekonomi”.

“Hanya tenaga nuklear mampu menyediakan bekalan elektrik asas yang stabil dan terjamin bagi memastikan tenaga boleh baharu benar-benar berdaya maju dalam jangka panjang,” katanya kepada FMT.

Penasihat kanan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hussein pula lebih terus terang: “Jadi, tenaga nuklear adalah pilihan yang perlu diteruskan.”

Pengalaman di Udomlya tidak menyelesaikan perdebatan mengenai tenaga nuklear di Malaysia, dan Malaysia juga tidak sepatutnya sekadar meniru model Rusia.

Namun bandar ini memberi gambaran mengenai apa yang berlaku apabila tenaga nuklear tidak lagi sekadar dasar negara yang abstrak, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

Di sini, loji itu menjana elektrik dan menyediakan ribuan pekerjaan.

Pekerjanya menghantar anak ke sekolah tempatan. Penduduk memancing dan berenang di tasik sekitarnya, sementara aspek keselamatan dipantau secara berterusan dan hasilnya boleh dilihat orang ramai.

Sesuatu yang luar biasa, selepas puluhan tahun, akhirnya menjadi perkara biasa.

Loji nuklear itu mungkin berada di halaman belakang Udomlya, tetapi bagi penduduk yang tinggal di sini, ia hanyalah sebahagian daripada rumah mereka.

Azeem Abu Bakar adalah pengarah urusan FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.