2 beranak rentung rumah terbakar di Batu Pahat

Dua beranak ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Parit Raja, Batu Pahat, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 2.50 pagi.
“Dua fire rescue tender, sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan utiliti dengan kekuatan 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam serta Penggaram dihantar ke lokasi kejadian.
“Kebakaran itu memusnahkan 70% struktur rumah jenis separuh kekal berkeluasan 40 x 70 kaki persegi dan operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran dengan sumber air daripada tangki pam jentera,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.
Katanya, dua mangsa dipercayai ibu dan anak ditemukan rentung di bilik utama rumah berkenaan, namun jantina dan umur masih belum dikenal pasti.
Kes diserahkan kepada pihak forensik untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.18 pagi.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.