Bomba pam air laut padam kebakaran tapak lupus sampah Pasir Gudang

Pasukan bomba terpaksa mengepam air laut untuk memadam kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Muhibbah, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang.
Kebakaran di tapak pelupusan sampah itu dipercayai bermula kira-kira 10 malam tadi, dengan api marak dan merebak ke kawasan simpanan gentian berhampiran yang menempatkan susunan bongkah pelampung setinggi 3m.
Sepasukan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang serta Johor Jaya menyertai operasi pemadaman yang masih diteruskan sehingga kini.
Komander Operasi BBP Pasir Gudang, Zuhdieyusni Said, berkata api dikesan merebak melepasi kawasan sampah pada 3.17 pagi tadi merangkumi kawasan seluas 46.5m persegi serta stor gentian bersebelahan.
“Ketika tiba di lokasi pada 10.11 malam, iaitu tujuh minit selepas menerima panggilan kecemasan, anggota bomba mendapati kebakaran membabitkan kawasan sampah terbuka seluas 0.0232 hektar.
“Namun, operasi berdepan kesukaran berikutan ketiadaan sumber air berhampiran, sekali gus memaksa anggota bomba mengepam air laut serta berulang-alik mengisi semula tangki jentera dari pili bomba terletak kira-kira 3.5km dari lokasi,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor bermula 5.33 pagi.
Jelasnya, BBP Johor Jaya mengendalikan bahagian depan menggunakan aliran hos 120m dengan dua pancutan air daripada pam mudah alih yang mengepam air laut, manakala BBP Pasir Gudang di bahagian belakang dengan satu lagi aliran hos 120m dan dua pancutan air laut.
Katanya, tiada kecederaan dilaporkan, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.