Akmal guna ‘prinsip’ seperti senjata politik, kata penganalisis

Dakwaan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, bahawa kerjasama dengan PAS lebih selari dengan prinsip parti mungkin memakan diri jika Umno gagal menjelaskan penglibatan berterusan dalam kerajaan perpaduan, menurut penganalisis politik.
Walaupun Akmal mempunyai hak untuk mengkritik kerajaan, beliau tidak mempunyai kredibiliti untuk menggunakan alasan prinsip untuk menolak Pakatan Harapan dan DAP, kata Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting.
“Jika prinsip Umno ialah tidak boleh bekerjasama dengan DAP, mengapa Umno masih berada dalam kerajaan persekutuan, sedangkan DAP merupakan salah satu parti komponen?” katanya kepada FMT.
Pada Khamis, ketika Perhimpunan Agung Umno, Akmal mendakwa PH banyak menguji Umno. “Sebab itu, bila orang tanya kenapa Umno beralih kepada PAS, jangan tanya Umno. Tanya PH kenapa mereka buat Umno pilih antara kuasa dengan prinsip,” katanya.
Beliau berkata Umno-Barisan Nasional bersedia menjadi pembangkang selepas PRU 2022 namun bersetuju membentuk kerajaan bersama PH, dan gabungan lain, demi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara bagaimanapun berkata Akmal melihat kerjasama sedemikian sebagai pilihan politik dan bukan semata-mata soal kesetiaan kepada raja-raja Melayu.
Azmi berkata Akmal dan Pemuda Umno ternyata mengemukakan kerjasama dengan PAS sebagai satu pilihan politik, walaupun majlis kerja tertinggi dan kepimpinan tertinggi parti masih belum membuat keputusan muktamad.
Katanya, naratif Akmal juga cuba memberi gambaran bahawa tangan Umno terikat kerana dasar-dasar utama kerajaan didorong oleh PH, yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, walaupun Umno merupakan sebahagian daripada parti memerintah.
Zaharuddin berkata di sinilah hujah Akmal mengenai ‘prinsip’ menjadi rumit, kerana kompromi dalam kerajaan gabungan tidak semestinya bermakna meninggalkan prinsip.
“Prinsip yang hanya digunakan untuk mengukur pihak lawan bukan lagi prinsip. Ia menjadi senjata politik,” katanya.
Sebelum ini, Akmal mengambil pendirian tegas terhadap DAP di Melaka, termasuk meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk melawan DAP, sambil menerima keputusan Umno untuk kekal dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
Zaharuddin berkata perbezaan ini perlu diperjelaskan jika Umno mahu pengundi menerima hujah mengenai prinsip. “Apakah perbezaan antara Melaka dan Putrajaya? Jika jawapannya ialah strategi politik, maka katakan demikian,” katanya.
Beliau berkata kritikan Akmal terhadap peningkatan kos sara hidup mempunyai asas, tetapi Umno tidak boleh sekadar mengkritik langkah-langkah untuk menangani isu itu tanpa menawarkan dasar alternatif, lebih-lebih lagi kerana parti itu juga sebahagian daripada kerajaan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.