Kitaran politik hampir lengkap, bekas musuh Pejuang kini tersingkir, kata Dr M

Pejuang akhirnya mendapat pembuktian selepas enam tahun berdepan pencapaian sukar, apabila musuh politik terdahulu kini mengalami kitaran nasib sama, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri yang juga pengasas parti itu berkata, tindakan pihak tertentu yang tergesa-gesa keluar kerajaan mahupun memecat kepimpinan Pejuang dahulu, kini turut mengalami pemecatan dan terpaksa menubuhkan parti baharu.
“Kitaran atau pusingan itu kelihatannya hampir lengkap,” katanya menerusi teks ucapan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Pejuang yang dibaca ketua penerangan Rafique Rashid Ali.
Tambahnya, mereka yang dahulunya tidak sabar keluar kerajaan akibat alahan melampau kini kelihatan menjurus kembali kepada parti-parti tersebut.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata tiada sahabat yang kekal melainkan matlamat dalam arena politik.
“Pertukaran jajaran politik bukan sesuatu yang luar biasa, asalkan prinsip perjuangan dan dasar parti terus dipertahankan demi rakyat,” katanya.
Beliau berharap agar Pejuang terus berdaya maju dan konsisten bergerak sebagai suara hati nurani rakyat biarpun terpaksa mengharungi perjalanan politik yang berliku dan penuh cabaran.
Terdahulu, Mahathir dilaporkan tiba di Perhimpunan Agung Pejuang kali keempat di IDCC Shah Alam pada 11.37 pagi.
Ini merupakan penampilan pertama beliau dalam acara rasmi parti selepas hampir tujuh minggu kehilangan isterinya Dr Hasmah Ali.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.